malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Masters Malaysia bagai inspirasi awal Tengku Zafrul
ADS

ULASAN SUKAN | Mungkin kebelakangan ini Tengku Zafrul Abdul Aziz kerap bermimpi. Harap-harap apa dihajati itu bakal terkabul.

Presiden baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah tentu mahu melihat kejayaan besar dicapai skuad negara dalam kancah Masters Malaysia. Ini untuk mendapatkan inspirasi awal bagi memacu pentadbiran dan pengurusannya.

Dia yang secara rasmi menjadi presiden BAM pada 10 Mei lalu mungkin tidak mengharapkan banyak gelaran dapat dimenangi pemain kita dalam kejohanan Super Siri 500 itu di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Cuma, impian besarnya sekadar dapat melihat sekurang-kurannya satu gelaran dapat dituai daripada lima sektor itu di depan matanya.

Tapi jauh di sudut hati pasti Tengku Zafrul ingin melihat apa dirakamkan oleh Pearly Tan-M Thinaah dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika merajai Terbuka Thailand, minggu lalu mampu berulang.

Kedua-dua pasangan beregu wanita dan lelaki itu pulang dengan keringat yang berbaloi selaku juara. Kocek masing-masing kembung dengan hadiah kemenangan bernilai RM161,132 serta pingat emas dan trofi.

Apa pun, cabaran Masters Malaysia yang bermula semalam pasti lebih sengit berbanding Terbuka Thailand. Kali ini beberapa bintang dunia yang tidak hadir di Bangkok sebaliknya hadir di Kuala Lumpur untuk mencari pengiktirafan.

Rasanya, sokongan padu penonton bakal menjadi antara inti pati kejayaan kita selain semangat dan tekad pemain sendiri dalam menggapai impian besar.

Ini jelas satu ujian getir buat Pearly-Thinaah dan Aaron-Wooi Yik. Namun, jika momentum dan keyakinan sama dapat dibawa ke gelanggang pertarungan nanti tiada apa yang mustahil.

Ini yang mahu dilihat penonton. Ribuan daripada mereka mahu bersorak membantu cabaran pemain utama kita, bukan saja kepada dua beregu juara baru ini malah sektor lain, khasnya beregu campuran.

Di sini, fokus akan tertumpu kepada juara bertahan, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai untuk tampil membuktikan kejayaan meraih gelaran tahun lalu bukan atas faktor nasib, tetapi azam dan kesungguhan untuk berjaya di laman sendiri.

Secara realiti kita tidak dapat melihat dari mana datangnya kekuatan kita untuk mengungguli acara perseorangan lelaki dan wanita kali ini. Jadi, kita usahlah menyimpan harapan besar, kecuali sesuatu kejutan berlaku.

Bagi memberikan gambaran jelas, senario ketika ini menceritakan peluang kejuaraan dari kem badminton negara di Masters Malaysia bakal menyusul daripada tiga acara beregu.

Tumpuan meraih gelaran bagi edisi kali ini juga akan disandarkan di atas bahu pasangan beregu lelaki nombor dua dunia, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.

Mereka melepasi pusingan pertama menewaskan lawan dari Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi 21-16, 21-13 dalam tempoh 31 minit.

Halangan seterusnya buat pasangan negara ialah bertemu Chen Zhi Ray-Lin Yu Cheih dari Taiwan.

Pilihan kelima, Man Wei Chong-Tee Wai Kun turut ceria melepasi halangan pertama selepas menyingkirkan lawan dari India, Roy Pruthvi-K Sai Pratheek 21-15,23-21.

Saat ghairah kepada peminat dan komuniti badminton negara sudah pun makin memuncak - sama seperti dirasai Tengku Zafrul.

Kita mohon sorakan penyokong di Arena Axiata berterusan mengiringi cabaran pemain negara sehingga ke penamat saingan pada Ahad ini.

Penyudah podium seperti menunggu pemain negara.


V ASHOK bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen