malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis buru tiga suspek serangan simbah asid terhadap pemilik spa di Bachok
Diterbitkan:  May 20, 2025 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM
ADS

Polis sedang giat mengesan tiga individu yang disyaki terlibat dalam serangan kejam menggunakan bahan dipercayai asid terhadap seorang pemilik spa wanita, di premisnya di Beris Kubu Besar, Bachok, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata suspek terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki, serta mereka dipercayai masih berada di sekitar negeri itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, mangsa tidak mengenali kesemua suspek secara peribadi namun sebelum kejadian berlaku, mangsa ada menerima satu mesej WhatsApp daripada seorang individu yang dipercayai suspek utama.

“Punca serangan masih dalam siasatan, namun tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan dendam atau persaingan perniagaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan bahan berbahaya, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohamad Ismail berkata serangan ini amat kejam dan tidak berperikemanusiaan dan polis tidak akan berkompromi.

“Kami akan memastikan semua suspek diberkas dalam masa terdekat. Saya juga menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat,” katanya.

Pada Sabtu lepas, peniaga wanita itu disimbah cecair dipercayai asid oleh seorang individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang dekat Bachok.

Insiden berlaku ketika mangsa membuka pintu premis miliknya untuk memberikan perkhidmatan urutan mengikut satu temu janji dan selepas itu, suspek bertindak melarikan diri.

Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki. Namun, beliau kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen