malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kanak-kanak ditemukan lemas 6km dari lokasi dilaporkan hilang
ADS

Seorang kanak-kanak perempuan warga Rohingya yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras air longkang berhampiran Dewan MPAJ Kampung Cheras Baru, Ampang malam tadi, ditemukan lemas pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata mayat kanak-kanak berumur 10 tahun itu ditemukan di Sungai Kerayong Taman Cheras Indah, dekat Kuala Lumpur pada 11.20 pagi, kira-kira enam kilometer dari lokasi dilaporkan terjatuh

“Mayatnya dibawa ke Hospital Ampang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Komander Operasi Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohamad Riduan Akhyar berkata mayat itu ditemukan tersangkut di tebing sungai dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dia berkata 11 anggota PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur bersama anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras serta Bandar Tun Razak telah menyambung operasi pencarian mangsa pada kira-kira sembilan pagi tadi.

Semalam media melaporkan polis menerima laporan mengenai Nur Aida Nur Muhammad bersama seorang lagi kanak-kanak juga berumur berumur 11 tahun jatuh ke dalam longkang itu pada 6.07 petang.

Kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala Nur Aida terus hilang selepas dihanyutkan arus deras air longkang.

Difahamkan kedua-dua kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah semasa kejadian.

Sementara itu bapa Nur Aida, Tufail Ahmad, 36, melahirkan rasa terkilan kerana tidak sempat menunaikan hasrat anaknya untuk bercuti bersama keluarga.

Dia berkata anak sulung daripada empat beradik itu sering meminta untuk bercuti bersama keluarga, namun permintaannya tidak sempat ditunaikan kerana terikat dengan kesibukan kerja. 

“Beberapa hari sebelum kejadian, dia ada cakap nak jalan-jalan.. Saya janji nak bawa, tapi tidak sempat.. Sekarang saya rasa sangat terkilan,” katanya sebak ketika ditemui Bernama hari ini.

Dia berkata walaupun reda namun kehilangan anaknya amat dirasai kerana sifat rajin anaknya yang sering membantu ibunya yang kini berpantang anak keempat.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen