Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membidas perhimpunan bagi menyatakan bantahan terhadap lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, dengan mendakwa mereka tersalah sasaran.
Hujahnya, Sekretariat Undur Azam Baki menyasarkan individu yang salah dan sebaliknya harus menyalurkan kemarahan mereka terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Bantahan itu itu sepatutnya 'Undur Anwar'. Azam Baki tidak bersalah jika PM berpendapat dia layak mendapat lanjutan berulang kali," katanya kepada Malaysiakini.
Zaid berkata lanjutan kontrak ketiga buat Azam oleh Anwar - yang gabungannya, Pakatan Harapan, pernah lantang mengkritik ketua pesuruhjaya SPRM itu - menunjukkan bagaimana “reformasi” yang digembar-gemburkan itu “berundur”di bawah kerajaan Madani.
"Jika kamu tidak percaya, tanya anak perempuan Anwar atau timbalannya dalam PKR," katanya merujuk kepada Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli.
Nurul Izzah menyifatkan lanjutan kontrak buat Azam sebagai keputusan yang "tidak dialu-alukan". "tidak diingini." Rafizi pula mengakui dia tidak boleh secara terbuka menentang keputusan itu kerana kedudukannya dalam kabinet.

Sebelum ini, Zaid pernah menyoal bagaimana Anwar boleh cakap dia mendapat kepercayaan rakyat sedangkan anaknya sendiri, Nurul Izzah menolak keputusannya melanjutkan kontrak Azam.
Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan bahawa Sekretariat Undur Azam Baki mengajak orang ramai turun ke Dataran Merdeka pada jam 8 malam, 24 Mei ini bagi menyatakan bantahan terhadap lanjutan kontrak itu.
Kumpulan itu berkata himpunan tersebut akan menjadi medan bagi rakyat menyuarakan pendirian terhadap pelantikan semula Azam.
Sekretariat Undur Azam Baki berkata perhimpunan itu juga berfungsi sebagai gelanggang untuk rakyat menyuarakan bantahan tegas mereka terhadap kepimpinan berterusan Azam dalam suruhanjaya antirasuah itu, di samping menuntut reformasi institusi menyeluruh SPRM.

Azam, 62, memegang jawatan itu sejak 9 Mac 2020, menggantikan Latheefa Koya, dan dilantik semula pada Mei 2023 dan Mei 2024.

