Keputusan mengenai cadangan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan (MOF) seperti yang diputuskan Kabinet, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Rafizi berkata Kementerian Ekonomi telah mengadakan perbincangan dengan Kabinet selama empat kali berhubung perkara itu dan ketika ini sedang menunggu maklumat terkini seterusnya daripada MOF.
"MOF akan menguruskan keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini dan saya rasa kita perlu menunggu pengumuman rasmi mereka. Seeloknya dapatkan butiran lanjut daripada MOF," katanya.
Rafizi berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Rakan Dialog Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di Kuala Lumpur, hari ini.
Pada Mac lepas, Menteri Kewangan Kedua Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata mekanisme bagi subsidi bersasar RON95 masih diperhalusi.
Dia berkataan kerajaan tidak mahu membuat sebarang pengumuman awal mengenai pelaksanaannya pada masa itu dan pengumuman dijangka dibuat selepas separuh pertama tahun ini.
-Bernama

