malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kita lawan habis-habisan - Akmal cabar DAP Jasin sertai PRN Melaka
Diterbitkan:  May 19, 2025 5:33 PM
Dikemaskini: 9:50 AM
ADS

Ketegangan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin memuncak apabila Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, mencabar DAP Jasin untuk turut bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan parlimen itu.

Cabaran itu menyusul selepas 15 cawangan DAP di Jasin menyatakan sokongan bersyarat terhadap calon kerajaan perpaduan.

Dalam kenyataan media hari ini, gabungan cawangan DAP Jasin meluluskan usul menyokong calon kerajaan perpaduan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan (PH) dan BN pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun syarat yang dikenakan adalah mereka menolak ahli politik yang mengamalkan politik ekstrem – termasuk pendekatan perkauman dan agama yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

“DAP Jasin komited untuk menjadi sebahagian daripada usaha membina negara yang lebih bersatu, adil dan makmur.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang membawa politik kebencian dan perpecahan,” menurut kenyataan bersama mereka.

Cawangan-cawangan terlibat – antaranya Kelubi, Air Barok, Asahan, Jasin Lalang, dan Kemendor – turut menyatakan komitmen terhadap kestabilan politik dan keharmonian kaum, serta menolak sebarang bentuk ekstremisme dalam penentuan calon PRN.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, namun adalah jelas, sasaran mereka adalah terhadap ketua Pemuda Umno itu yang juga merupakan Adun Merlimau yang kerusinya terletak di Parlimen Jasin.

Ini dapat dilihat apabila Akmal sendiri mengulas kenyataan tersebut dengan menyatakan persetujuan terhadap penolakan politik ekstrem tetapi mencadangkan syarat tambahan.

“Saya sangat setuju! Malah saya menyarankan kepada DAP Jasin agar buat satu lagi syarat iaitu calon yang betul-betul memahami sejarah dan perlembagaan Malaysia serta mampu bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih,” tulisnya di media sosial.

Dia turut mempersoalkan sama ada kenyataan DAP Jasin itu memberi bayangan bahawa parti itu akan meletakkan calon di DUN Merlimau atau mana-mana kerusi dalam kawasan parlimen tersebut.

“DAP Jasin mahu bertanding juga di Merlimau atau mana-mana kerusi DUN dalam Jasin ke? Macam cadangan Ketua Pemuda DAP Melaka?

“Silakan, kami tunggu. Kita lawan habis-habisan nanti ya,” katanya.

Akmal sebelum ini sering dikaitkan dengan pendekatan kontroversi yang dianggap mengamalkan politik ekstrem yang bersifat melampau.

Antaranya termasuk kenyataan berunsur stereotaip terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, dengan mendakwa Ramasamy "mungkin mabuk" semasa membangkitkan isu sekolah vernakular – satu komen yang dikecam sebagai bersifat perkauman.

Dalam isu stoking kalimah “Allah” yang dijual di KK Mart, Akmal mengetuai kempen boikot dan menuntut tindakan keras terhadap syarikat itu. Tindakan itu dikritik oleh sesetengah pihak sebagai cubaan memanipulasi sentimen agama. Malah, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno turut mengarahkannya supaya menghentikan sebarang kenyataan lanjut berhubung isu berkenaan.

Akmal juga pernah berkata “lebih baik mati sahaja” kepada mereka yang dikatakannya tidak menyedari penghinaan terhadap Islam – satu kenyataan yang mencetuskan reaksi keras kerana dianggap melampau dan tidak wajar keluar dari mulut seorang pemimpin politik.

Pada pilihan raya umum (PRU-15) 2022, Parlimen Jasin yang pernah menjadi kubu kuat BN tumbang ke tangan Perikatan Nasional (PN) dengan hanya 322 undi.

Pola kemerosotan undi BN mula terserlah sejak PRN Melaka 2021, yang sekaligus menjadikan Jasin bukan lagi kerusi yang benar-benar selamat.

Dengan landskap politik yang lebih cair selepas PRU15 dan pembentukan kerajaan perpaduan, mana-mana kerusi – termasuk di Jasin – dijangka menjadi medan persaingan sengit antara BN, PH, dan PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen