Seorang lelaki didakwa memasuki sebuah kuil di Ampang, Selangor dan merosakkan rumah ibadat penganut Hindu itu.
Dia didakwa membawa parang, tukul dan keris dan memecahkan tempat sembahyang di kawasan itu.
Dalam laporan polis seorang pemandu lori, S Mohana berkata mengesan perbuatan khianat itu melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ke kuil berkenaan untuk menghalang tindakan lelaki itu.

Sebaik tiba di kuil Dewi Sri Maha Kaliaman di Kampung Tasek Ampang Selangor itu, dia yang cuba menghalang perbuatan itu, namun diugut oleh lelaki terbabit untuk memotong kepalanya dengan parang.
Laporan polis itu dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Ampang hari ini.
Melalui laporan polis yang dikongsikan Timbalan Pengerusi Interim Urimai, David Marshel, selepas diugut lelaki berkenaan bertindak menelefon pihak polis.
"Saya terus menghubungi pihak polis (Gerakan Ampang) dan pihak polis telah datang dan membawa suspek ke balai (polis).

"Untuk maklumkan saya mendengar beliau terima panggilan daripada satu lelaki bangsa tidak pasti yang menyatakan beliau sudah membuat kerja yang diminta," kata S Mohana dalam laporan polis berkenaan.
Sementara itu, David berkata Urimai menyuarakan kebimbangan berhubung dua insiden yang berlaku terhadap rumah ibadat Hindu di Selangor dalam tempoh seminggu.
Katanya, insiden pertama melibatkan tindakan merobohkan patung suci di Kuil Sri Maha Ayiram Kannudayar Alayam, Kapar sebelum ini
"Belum reda isu tersebut, kini satu lagi kejadian serupa telah berlaku di Kuil Dewi Sri Kaliamman Alayam, Tasik Permai-F, Ampang, di mana seorang individu telah ditahan ketika cuba merosakkan patung di kuil berkenaan.
"Namun amat mengecewakan apabila individu terbabit terus dilabel sebagai “orang tidak waras” tanpa siasatan lanjut, seolah-olah cubaan meremehkan kes ini. Kami percaya bahawa terdapat unsur perancangan oleh pihak-pihak tertentu yang berniat jahat terhadap rumah ibadat Hindu.
"Urimai memandang serius kebangkitan gerakan ekstremis yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan naratif berbahaya, termasuk menuduh kuil-kuil sebagai struktur haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, David berkata dia yakin apa yang berlaku kini adalah disebabkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyifatkan kuil di Jalan Masjid India sebagai “struktur haram”.
Padahal, kuil berkenaan telah wujud sejak zaman pra-kemerdekaan dan kenyataan tak berasas itu telah membuka ruang kepada pelampau untuk bertindak terhadap rumah ibadat Hindu
"Kenyataan tanpa asas ini membuka ruang kepada pelampau untuk menyebarkan retorik berbahaya terhadap rumah ibadat Hindu di seluruh negara.
"Urimai menggesa pihak berkuasa dan kerajaan untuk mengambil tindakan segera dan menyeluruh terhadap ancaman ini sebelum ia mencetuskan ketegangan yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di negara ini," katanya lagi.




