malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Juara berganda di Bangkok nyala impian Masters Malaysia
ADS

ULASAN SUKAN | Seronok benar dan amat bangga melihat kelincahan Pearly Tan-M Thinaah dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuahkan hasil apabila mereka mengungguli gelaran dalam kancah saingan Terbuka Thailand yang berakhir semalam.

Kalau tidak silap, kita belum pernah mengecap dua gelaran secara serentak dalam acara beregu wanita dan lelaki di Siri Super 500, 750 atau pun 1000 di Jelajah Dunia BWF.

Apa pun, kejuaraan berganda terakhir pernah diukir pemain negara hadir 11 tahun lalu di Terbuka Malaysia 2014 menerusi Lee Chong Wei (perseorangan lelaki) dan Goh V Shem-Lim Khim Wah (beregu lelaki).

Jelas pencapaian yang dilakar mereka di Bangkok semalam satu lagi detik ceria untuk dinikmati oleh peminat badminton di tanah air.

Kegemilangan dilakar itu harus memberi suntikan tambahan apabila kedua-dua pasangan terbabit beraksi membawa cabaran di Masters Malaysia yang bermula minggu ini.

Mampukah mereka mempertahankan momentum yang sama di Arena Axiata, Bukit Jalil nanti?

Hakikatnya, dua pasangan beregu utama negara kita akan berdepan halangan lebih sukar dengan kehadiran berapa pasangan bintang dari China dan Korea Selatan, misalnya, yang tidak beraksi di Terbuka Thailand.

Komuniti badminton mengerti ranjau penuh berliku menunggu wakil negara namun mereka tetap mahu menyalakan impian melihat wira dan srikandi negara itu menjulang lagi trofi kejuaraan di hadapan penyokong sendiri pada 25 Mei ini.

Andai berjaya menjuarai lagi gelaran di bumi sendiri nanti, ia akan menjadi kejayaan buat kali ketiga berturut-turut dalam Jelajah BWF untuk Aaron-Wooi Yik selepas mengungguli Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China (8-13 April) dan Terbuka Thailand, tempoh hari.

Bagi Pearly-Thinaah, ia akan menghadiahkan mereka gelaran kedua berturut-turut dalam kalendar BWF untuk tahun ini.

Mereka turut mencipta sejarah sebagai pasangan beregu wanita pertama negara menjuarai acara di kejohanan berusia 41 tahun ini.

Sokongan jurulatih

Status juara terkini juga akan membangkitkan persoalan hangat yang masih belum terjawab - sama ada mereka akan terus kekal bersama BAM atau memilih haluan sendiri lalu bergerak sebagai pemain profesional.

Dalam detik sambutan kejayaan terkini itu, Pearly- Thinaah dan Aaron-Wooi Yik tidak lupa memberikan pujian untuk sentuhan serta motivasi jurulatih masing-masing yang mengubah haluan mereka sepanjang tempoh cabaran di Stadium Nimibutr.

Thinaah yang dipetik portal Selangor Journal berkata dia dan Pearly tidak menyembunyikan hakikat betapa jurulatih mereka, Rosman Razak, memainkan peranan besar bagi setiap mereka sentiasa fokus di atas gelanggang.

“Sokongan jurulatih amat membantu kami sepanjang tempoh cabaran ketika menentang pasangan Korea Selatan. Lawan kami bermain baik,” katanya.

Pasangan pilihan pertama kejohanan itu tidak banyak memberi ruang kepada lawan, Jeong Na-Eun dan Lee Yeon Woo (ranking ke-105) dengan kemenangan 21-16, 21-17 dalam saingan yang bertahan selama 57 minit.

Nada sama turut diluahkan Wooi Yik yang menyebut mereka ghairah untuk menarik perhatian jurulatih, Herry Iman Pierngadi, dan ini membantu meningkatkan semangat mereka dalam final.

Kedua-dua pemain juga menyuarakan, pengendali dikenali sebagai ‘Naga Api’ itu menyuntik keyakinan serta nasihat berguna kepada mereka selepas tewas set pertama kepada lawan dari Denmark, Willaim Kryer Boe-Christian Faust Kjaer.

Bekas juara kejohanan dunia 2022 berjaya menyusun baik permainan di gelanggang untuk bangkit mengesahkan kemenangan 20-22, 21-17, 21-12 dalam tempoh permainan 60 minit.

Sementara itu, juara perseorangan lelaki menjadi milik pemain tuan rumah, Kunlavut Vitisarn, yang menyelamatkan maruah Thailand dalam perlawanan terakhir kejohanan lima sektor itu.

Bekas juara dunia itu mengetepikan cabaran pemain Denmark, Anders Antonsen 21-16, 17-21, 21-9 dalam tempoh permainan 92 minit.

Acara perseorangan wanita pula menjadi milik jaguh China, Chen Yu Fei yang menghampakan pemain tuan rumah, Pornpawee Chochuwong 21-16, 21-12.

China menambah satu lagi gelaran pada hari terakhir kejohanan apabila mengungguli acara beregu campuran yang membabitkan kedua-dua finalis dari negara sama.

Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping menewaskan Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 24-22, 21-16.

Kita berharap cabaran Masters Malaysia yang bermula Selasa ini akan banyak memihak kepada pemain negara. Dah mula rasa kempunan pula.


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen