Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sathia Prakash Nadarajan menegaskan presiden parti itu Anwar Ibrahim tidak menyokong mana-mana kem atau ‘cai’ dalam pemilihan yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 24 Mei.
Dr Sathia yang juga calon naib presiden PKR, berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) baru-baru ini.
"Saya ingin tegaskan tidak ada sebarang cai pada pemilihan kali ini. Tiada siapa boleh mendakwa bahawa dia disokong oleh presiden.
"Perkara itu telah diputuskan dan dipersetujui dalam mesyuarat MPP bahawa presiden tidak akan menyokong mana-mana calon sebagai barisan beliau.
"Jika anggota parti berjumpa dengan mana-mana calon yang mengakui bahawa dia adalah barisan atau cai presiden, jangan percaya," katanya kepada Malaysiakini.
Dr Sathia berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa pemimpin parti yang dilaporkan mengadakan pertemuan tertutup dengan ketua-ketua cabang dan delegasi, selain tidak menghadiri program rasmi anjuran parti seperti 'Jelajah Kita Keadilan, Pra-Kongres Nasional Tahunan 2024/2025' yang dianjurkan Pejabat Setiausaha Agung Fuziah Salleh.
Sebaliknya mereka lebih gemar mengadakan perjumpaan tertutup dan mendakwa mereka adalah mewakili cai presiden.
Dr Sathia berkata jelajah itu bertujuan memperkenalkan calon-calon yang bakal bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP), dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP).
"Tapi ada pihak cuba menggunakan nama presiden mengambil jalan mudah untuk memancing undi. Namun ia tidak benar sama sekali. Presiden tak menyokong sesiapa pun," katanya.
Untuk rekod, jawatan timbalan presiden kali ini menyaksikan pertembungan antara penyandang, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, anak kepada Anwar Ibrahim.
Sementara itu, 12 calon akan bertanding bagi empat jawatan naib presiden, manakala 86 calon bersaing untuk merebut 20 kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

