malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan bawa budaya politik hati tisu, kata calon timb ketua AMK
Diterbitkan:  May 18, 2025 6:55 PM
Dikemaskini: 10:58 AM
ADS

Seorang calon timbalan ketua Pemuda PKR (AMK) mengingatkan parti itu agar tidak membawa budaya 'politik hati tisu' apabila menganggap teguran sebagai satu bentuk serangan peribadi.

Arshad Hassni yang merupakan exco AMK berkata, kritikan daripada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli seharusnya dilihat sebagai dorongan untuk penambahbaikan dan bukan disambut dengan kenyataan defensif.

"Kita tidak boleh membudayakan politik ‘hati tisu’ – di mana sebarang teguran dianggap sebagai serangan peribadi.

"Lebih membimbangkan apabila kritikan terhadap seorang calon dijadikan alasan untuk menunggang nama-nama lain dalam AMK, termasuk pimpinan cabang, semata-mata untuk membina persepsi yang tidak tepat," katanya dalam kenyataan.

Arshad mengulas tindakan sekumpulan calon bagi jawatan sayap AMK yang menyatakan rasa kecewa dengan Rafizi yang didakwa menyerang calon ketua mereka, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Kenyataan itu dibuat bersama Ketua Pemuda PKR Selangor Izuan Kasim, yang juga calon timbalan ketua AMK, selain enam calon naib presiden AMK dan 49 calon ahli jawatankuasa pusat AMK.

Mereka dipercayai merujuk kepada kenyataan Rafizi mendakwa pemilihan PKR diadakan pada tahun ini kerana terdapat "bakat-bakat baru yang nak sangat bertanding", termasuk Muhammad Kamil dan Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan.

Rafizi sebelum ini turut mempersoalkan ketiadaan pencabar Muhammad Kamil, yang juga setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bagi jawatan ketua AMK.

Mengulas lanjut, Arshad berkata rakyat terutamanya anak muda sedang memerhatikan tindak tanduk dan kematangan AMK dalam mendepani era politik baru.

"Malangnya, kita masih dilihat tenggelam dalam polemik dalaman yang remeh, berbanding menampilkan idea segar, keberanian berpolitik dan strategi yang ampuh untuk meraih sokongan anak muda menjelang PRU akan datang.

"Saya menyeru agar semua pihak kembali fokus kepada misi sebenar AMK: memperkukuh kekuatan parti, memenangi hati rakyat, dan menampilkan kepimpinan pelapis yang berwibawa. Bukan terperangkap dalam drama dalaman yang mencalar maruah pergerakan ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen