malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi-Nurul Izzah boleh jadi gabungan ideal, kata penganalisis
ADS

Anggota PKR disaran agar berusaha menyatukan Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, yang kini bersaing untuk jawatan timbalan presiden parti itu.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM) Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kedua-duanya mampu menjadi kombinasi yang ideal dalam menerajui demi kelangsungan dan masa depan PKR.

"Persaingan antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah - dua tokoh utama dalam sejarah gerakan Reformasi - menimbulkan dilema antara kesinambungan idealisme dan keperluan realpolitik.

"Penyatuan Rafizi–Nurul Izzah adalah gabungan ideal untuk masa depan PKR, melangkaui pemilihan untuk jawatan timbalan presiden tanpa mengira pihak mana menang.

"Maka pendekatan terbaik bagi PKR bukanlah memilih salah seorang, tetapi menyatukan kedua-duanya dalam struktur kepimpinan yang mewakili dua tiang penting parti iaitu idealisme reformasi dan kecekapan strategik," katanya kepada Malaysiakini.

Pertembungan antara Rafizi dan Nurul Izzah menjadi perhatian utama dalam pemilihan PKR yang akan diadakan pada 23 Mei ini.

Kedua-duanya kini rancak berkempen dengan siri jelajah untuk bertemu ahli akar umbi parti.

Setakat ini, banyak cabang dan tokoh akar umbi telah menyatakan sokongan awal kepada Nurul Izzah, meskipun Rafizi masih kekal sebagai penyandang yang berpengaruh dan memainkan peranan penting dalam kemenangan PH dalam PRU15.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata melalui cara kempen Rafizi, dia dilihat ingin memaparkan imej seorang tokoh yang tegas, strategik dan berani mencabar status quo. 

"Memang sumbangannya yang paling signifikan ialah strategi kempen pilihan raya serta usaha konsisten dalam membongkar skandal seperti NFC dan 1MDB. Dia juga memainkan peranan penting dalam kemenangan PH dalam PRU14 dan memacu strategi PRU15,” katanya.

Berkenaan Nurul Izzah pula, dia berkata: “Nurul Izzah dilihat berimej sederhana, membawa kekuatan dari aspek karisma, citra wanita dalam politik dan simbol moral reformasi yang konsisten sejak 1998.” 

“Dia ada kelebihan dari segi hubungan antara generasi dan kapasiti meredakan ketegangan dalaman parti. Kelebihan utamanya terletak pada jaringan akar umbi kukuh, terutama dalam kalangan wanita dan belia, selain dilihat sebagai tokoh perpaduan dan tidak mencetuskan perpecahan,” katanya lagi.

Bagaimanapun kedua-duanya, menurut Awang Azman lagi, ada kelemahan masing-masing.

"Kelemahan Rafizi ialah gaya komunikasi yang kadang kala dilihat kurang diplomatik. Manakala Nurul Izzah dikekang dengan isu persepsi bahawa pencalonannya dikaitkan dengan legasi ayahnya dan tidak seagresif Rafizi dalam menghadapi tekanan luar mahupun pergeseran dalaman," katanya lagi.

Populariti paling mustahak

Sementara itu, penganalisis dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berpendapat Nurul Izzah lebih layak memegang jawatan timbalan presiden atas faktor populariti dan sokongan daripada akar umbi.

"Hakikatnya, Rafizi tidak boleh mendabik dada kerana jawatan dalam kabinet. Dia dilantik menteri kerana dia adalah timbalan presiden. Sebagai Menteri Ekonomi dia tidak begitu popular, bukan sahaja di kalangan seteru tetapi juga dalam PKR.

“Nurul Izzah pula kurang pengalaman, tiada jawatan kabinet dan bukan ahli Parlimen. Tapi bagi jawatan timbalan presiden, perlu ada sokongan kuat daripada akar umbi dan sekarang kita lihat ramai ketua cabang PKR suarakan sokongan kepadanya.

"Itu menunjukkan Rafizi tak popular di kalangan akar umbi. Populariti adalah kriteria penting untuk mengukuhkan parti di peringkat dalaman. Dengan itu, saya lihat Nurul Izzah lebih sesuai,” katanya lagi. 

Kedua-duanya aset

Bagaimanapun, Pensyarah universiti Tajuddin Mohd Rasdi memilih Rafizi berdasarkan pengalaman politiknya, khususnya dalam menghadapi pilihan raya.

"Kedua-dua adalah ahli veteran dalam PKR dan bukan calon payung terjun tanpa pengalaman.

“Bagaimanapun, untuk bergerak ke depan dalam menghadapi pilihan raya, Rafizi lebih berpengalaman dan dia telah buktikan ketika dia tidak aktif dalam PKR, parti itu tewas dalam sejumlah PRK. 

"Apabila dia kembali pada 2018, dia membawa kemenangan yang hebat sekali tanpa Anwar yang berada di penjara. Pada 2022 kita lihat Rafizi yang ditemani Anwar untuk membawa kemenangan PH. Kita tak nampak lagi macam mana Nurul Izzah akan membawa peperangan kempen ini.

“Untuk kepentingan bersama dari sudut negara dan PH, saya masih lagi (berpihak) kepada Rafizi, tetapi kita tetap kena tunggu bagaimana Nurul Izzah akan mengemudi kempen dengan caranya sendiri,” katanya lagi.

Senada dengan Tajuddin juga berpandangan kedua-dua Rafizi dan Nurul Izzah adalah tokoh penting dalam politik negara.

“Mereka tidak pernah menggunakan perkauman dalam isu politik,dan juga tak pernah menunggang agama demi kepentingan diri masing-masing.

"Bagi saya kedua-dua adalah aset penting kepada PKR," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen