malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amanah gesa ahli parti tak masuk campur soal pemilihan PKR
Diterbitkan:  May 17, 2025 6:52 PM
Dikemaskini: 10:52 AM
ADS


Amanah menggesa anggota parti itu agar tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan pemilihan PKR di mana-mana platform, menyifatkannya sebagai “urusan keluarga PKR”.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil menegaskan para anggota parti itu perlu menghindari daripada masuk campur dalam urusan pemilihan PKR, terutama dengan menunjukkan sokongan kepada mana-mana calon tertentu.

“Memandangkan pentas pemilihan ini adalah urusan keluarga PKR, pimpinan dan ahli Amanah di semua peringkat tidak harus mencampuri proses ini.

“Justeru, semua ahli Amanah perlu mengelak daripada membuat sebarang komen atau memberi pandangan dalam mana-mana platform media ataupun wacana berhubung proses pemilihan ini, terutama kecenderungan memihak mana-mana calon bagi mengekalkan kesepaduan yang telah lama wujud antara Amanah-PKR,” katanya lagi.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pemimpin Amanah secara khusus, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pengarah komunikasinya, Khalid Samad.

Dalam audio siar “Explain Sikit!” oleh KiniTV, Khalid berkata perwakilan PKR sepatutnya memilih timbalan presiden berdasarkan kemampuan dan kekuatan calon.

Katanya lagi, pertimbangan seharusnya tidak berdasarkan hubungan kekeluargaan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Nurul Izzah, yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden.

Dia berkata hubungan Nurul Izzah dengan Anwar tidak sepatutnya dibangkitkan oleh ahli PKR, sebaliknya biarkan ia dimainkan oleh seteru mereka.

"Dalam soal pendedahan (pengalaman) yang dilalui oleh Rafizi dan berbanding dengan Nurul Izzah, saya rasa memang Nurul Izzah menjadi mangsa kepada hakikat dia anak kepada Anwar,” katanya.

Kata Khalid lagi, ‘nasib’ yang sama juga menimpa Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menurutnya tidak lagi dapat memainkan peranan seperti sebelum ini, termasuk untuk dilantik sebagai menteri.

Bekas naib presiden PKR Tian Chua turut serta dalam audio siar tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen