malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Klinik swasta tak wajib beri bil terperinci pada semua pesakit - KKM
Diterbitkan:  May 17, 2025 5:14 PM
Dikemaskini: 9:14 AM
ADS

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memperjelaskan bahawa fasiliti penjagaan kesihatan swasta tidak diwajibkan untuk mengeluarkan bil terperinci kepada setiap pesakit.

Penjelasan itu dibuat selepas seorang ahli farmasi kerajaan mencadangkan perkara tersebut dalam satu sesi TikTok Live baru-baru ini, yang bertujuan menerangkan arahan kerajaan kepada semua klinik untuk memaparkan harga ubat.

“Penyediaan bil terperinci hanya wajib dilaksanakan atas permintaan pesakit (mandatory upon request) tanpa sebarang caj tambahan, bagi memudahkan pemahaman tentang butiran caj perkhidmatan, rawatan dan ubat-ubatan yang diterima.

"KKM ingin memaklumkan bahawa tiada sebarang perubahan dasar atau pengumuman polisi baharu berkaitan pelaksanaan bil terperinci oleh klinik perubatan swasta,” kata kenyataan Bahagian Amalan dan Pembangunan Farmasi KKM.

Dua hari lalu, Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) menyatakan bantahan terhadap pegawai Program Perkhidmatan Farmasi KKM yang didakwa mengarahkan pengamal perubatan am dan klinik pakar swasta untuk melaksanakan bil terperinci.

Dalam satu kenyataan, FPMPAM menegaskan ahli farmasi tidak mempunyai kuasa untuk mengawal selia doktor dan menggesa KKM untuk memperjelaskan isu tersebut.

“Pengumuman yang dibuat di media sosial tanpa sebarang arahan rasmi, pekeliling atau pindaan undang-undang ini adalah satu tindakan melampaui bidang kuasa. Ia mengabaikan kerangka peraturan yang telah ditetapkan bagi mengawal selia amalan perubatan swasta di Malaysia.

“Doktor bukan peruncit. Kami dilesenkan di bawah Akta Perubatan 1971 dan dikawal selia oleh Majlis Perubatan Malaysia. Klinik perubatan swasta tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), dan bukannya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (Akta 723).

“Perincian fi konsultasi, prosedur dan ubat-ubatan merupakan urusan tadbir urus klinikal - bukan bidang kuasa farmasi,” kata kenyataan itu.

FPMPAM turut menggesa kerajaan memperjelaskan sama ada Perintah Paparan Harga yang digazetkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 akan terpakai ke atas klinik perubatan atau tidak.

Kumpulan itu juga memberi amaran bahawa pihaknya akan mempertimbangkan untuk ‘mengasingkan semua perkhidmatan’ yang akan menyebabkan caj lebih tinggi kepada pesakit sekiranya tekanan untuk melaksanakan bil terperinci diteruskan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen