malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dua warga Singapura ditemui mati dalam inap desa di Cheras
Diterbitkan:  May 17, 2025 12:21 PM
Dikemaskini: 4:21 AM
ADS

Dua warga Singapura ditemui mati di sebuah inap desa (homestay) di Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara berkenaan pada jam 12.53 tengah hari.

Katanya polis dimaklumkan seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik di sebuah inap desa di Jalan Nadchatiram, Taman Taynton View, Cheras.

Ia ditemui pekerja inap desa terbabit.

Katanya pemeriksaan polis ke atas mayat kedua-dua individu itu mendapati tiada sebarang kecederaan luaran badan, selain mereka lengkap berpakaian dan tiada sebarang unsur jenayah.

Keadaan kedua-dua mayat juga, katanya, mulai mereput dan berbau busuk.

"Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan tempat mayat ditemui mendapati penyaman udara dibalut dengan plastik sampah berwarna biru, manakala tingkap ditutup dengan plastik sampah serta ditampal dengan pita pelekat.

"Pemeriksaan juga mendapati terdapat sisa arang yang dibakar di dalam bekas pemanggang, selain ada dadah disyaki jenis ketamin di dalam piring di bilik berkenaan," katanya dalam kenyataan di Cheras hari ini.

Aidil berkata polis merakamkan keterangan seorang pekerja wanita inap desa berkenaan yang memaklumkan dia mendapati pintu hadapan kediaman itu berkunci dan kasut kepunyaan kedua-dua individu berkenaan masih berada di situ pada jam 11 pagi.

Menurutnya, wanita berkenaan kemudian mengetuk pintu beberapa kali, tetapi tiada jawapan meyebabkan dia menghubungi pengurus bagi memaklumkan perkara berkenaan.

"Pengurus itu kemudian mengarahkan pekerja terbabit membuka pintu hadapan dengan kunci pendua.

“Apabila dia masuk ke rumah itu, didapati penyaman udara, kipas siling dan televisyen dalam keadaan terpasang di ruang tamu.

"Wanita itu kemudian pergi ke bilik ketiga di inap desa berkenaan dan mendapati terdapat pelekat di sekeliling pintu manakala tingkap ditutup dengan plastik kanvas.

“Dia mengetuk pintu bilik beberapa kali, namun tiada jawapan, dan pintu juga sukar dibuka kerana dihalang oleh pita pelekat.

"Kemudian, pekerja itu membuka tingkap bilik dan terlihat kedua-dua si mati dalam keadaan terbaring di atas katil serta keadaan di dalam bilik berbau busuk," katanya.

Aidil menambah, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada liputan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya penolong pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tunku Muhriz mengesahkan kematian kedua-dua individu berkenaan pada 2.22 petang. Mayat kemudian dihantar ke hospital berkenaan untuk dibedah siasat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen