malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS tuntut polis, SPRM siasat video ‘duit kotor’ ketua cabang PKR
Diterbitkan:  May 17, 2025 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM
ADS

PAS menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebuah video yang tular di media sosial yang didakwa memaparkan seorang ketua cabang PKR membincangkan sumbangan kewangan daripada seorang ahli perniagaan terkenal.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menegaskan perkara itu bukan sekadar isu disiplin dalaman PKR semata-mata, sebaliknya berpotensi melanggar undang-undang negara, khususnya Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera membuka siasatan menyeluruh terhadap dakwaan serius ini.

"Dalam masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajib bertindak dengan segera dan tidak menunggu arahan politik untuk memulakan siasatan atas kemungkinan berlakunya unsur rasuah dan pengubahan wang haram,” katanya pada satu kenyataan.

Fadhli turut memberikan amaran keras laporan polis akan dibuat di seluruh negara, sekiranya tiada penafian rasmi atau penjelasan telus daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau kepimpinan tertinggi PKR.

“Rakyat berhak tahu kebenaran dan tidak boleh dibiarkan terus dibohongi atas nama perjuangan reformasi yang kini dilihat semakin dipenuhi hipokrasi,” tambahnya.

Fadhli melahirkan kebimbangan bahawa video tersebut didakwa menunjukkan dana itu sengaja tidak dimasukkan ke dalam akaun rasmi dan dilabelkan sebagai "duit kotor" bagi mengelakkan dikesan dalam sistem perbankan.

Pada Rabu lalu, Ketua PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng tampil bersuara dengan mendakwa klip kontroversi berkenaan – yang memaparkan dirinya dikaitkan dengan dana tidak diaudit kepada seorang tokoh politik kanan – sebahagian kempen memburuk-burukkan dirinya.

Lai menegaskan rakaman itu telah disunting secara jahat dan diedarkan dengan niat untuk mengelirukan.

Katanya dia menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Sebelum ini, Lai menafikan sebarang salah laku dalam laporan kewangan cabang itu bagi tahun 2024, sambil menyifatkan tuduhan tersebut bermotif politik. Dia turut memaklumkan laporan berkenaan yang dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan bahagian itu pada 1 Mac lalu tidak menerima sebarang bantahan.

PKR dilaporkan sedang mengenakan tindakan disiplin terhadap Lai berhubung video tersebut, dengan prosiding rasmi dijangka bermula selepas kongres nasional parti itu pada 24 Mei.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen