malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pulau Pinang naikkan elaun guru Kafa mulai Julai
Diterbitkan:  May 17, 2025 11:29 AM
Dikemaskini: 3:29 AM
ADS

Elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Pulau Pinang dinaikkan RM200 kepada RM1,500 berbanding RM1,300 sebulan bermula Julai ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohamad Abdul Hamid berkata bagi guru besar Kafa pula, kadar elaun baru ialah RM1,600 berbanding RM1,350 sebelum ini.

Ia melibatkan kenaikan RM250 sebulan.

"Dalam sidang dewan undangan negeri (DUN) tahun lepas, saya telah umumkan satu kajian menyeluruh sedang dijalankan bagi memperkasa pendidikan Kafa di Pulau Pinang sebagai tanda kecaknaan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan kerajaan negeri terhadap kebajikan mereka.

"Bagi menghargai guru Kafa Pulau Pinang, saya mengumumkan dua berita gembira iaitu kenaikan elaun, dan guru Kafa wanita yang dilantik pada atau selepas 1 Jan lalu serta diluluskan cuti bersalin, layak menerima sumbangan sebanyak RM1,100 sebulan selama dua bulan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Selain itu, katanya, bagi meningkatkan kecekapan guru Kafa di negeri itu, sebanyak RM150,000 diperuntukan bagi tujuan latihan.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata semua inisiatif itu membabitkan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan negeri sebanyak RM4.2 juta setahun, menjadikan peruntukan keseluruhan terkini untuk Kafa ialah RM8.5 juta setahun.

Katanya MAINPP juga memutuskan untuk menyeragamkan pengoperasian semua premis Kafa iaitu kembali kepada lima hari seminggu bermula 1 Julai ini selepas terhenti beberapa tahun lalu akibat wabak Covid-19.

Menurut Mohamad, MAINPP meningkatkan peruntukan agihan pendidikan kepada RM35 juta bagi 2024 dan 2025 termasuk memperkenalkan agihan derma siswa baru kepada pelajar politeknik dan tingkatan enam.

"Bulan lepas juga MAINPP memperuntukkan RM6.5 juta bagi mengagih 8,740 unit peranti tablet kepada 263 sekolah menengah dan sekolah kebangsaan bagi memenuhi objektif digitalisasi pendidikan serta berharap tidak berlaku kesenjangan dalam kalangan pelajar tersebut menjelang 2030," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen