Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa Nurul Izzah Anwar cuba memadamkan sejarah apabila menafikan peranannya dalam isu rundingan kerusi bagi menghadapi PRU 2018.
Rafizi mendakwa dia dan Saifuddin Nasution Ismail merupakan individu yang membuat rundingan kerusi dengan Dr Mahathir Mohamad ketika itu, dan tidak menafikan keberadaan bersama Nurul Izzah dan Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR ketika itu.
Kata Rafizi jika bukan kerana peranannya sebagai "budak jahat", rundingan kerusi yang rumit dengan Bersatu – yang menjadi sebahagian daripada PH waktu tersebut – barangkali PKR tidak dapat bertanding dalam jumlah kerusi seperti PRU tersebut.
Katanya, ketika itu Mahathir mahu Bersatu bertanding di lebih banyak kerusi termasuk melibatkan kawasan tradisi PKR.
"Timbul cerita baru (kononnya) Rafizi sebenarnya tidak main peranan (untuk PKR) menang pada 2018. Susah betul aku nak jawab (dakwaan tersebut). Takkan aku nak masuk bakul angkat sendiri… susahlah.
"Semalam Izzah sebagai pengarah pilihan raya bersama pada 2018, dia tak petik panjang (kisah yang berlaku). Dia petik dia berunding dengan Dr Mahathir. Itu nak memadam cerita peranan saya dalam membantu pilihan raya,” katanya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan orang ramai boleh menilai dan membandingkan dakwaan yang diceritakan Nurul Izzah dengan “riwayat” yang dikisahkannya pada malam tadi.
Kata Rafizi, dua orang jururunding utama PKR ialah dia sendiri bersama Saifuddin – yang sebelum ini disebut-sebut akan bertanding jawatan timbalan presiden parti berkenaan.
Bercakap pada program siri Jelajah Hiruk di Kota Bharu, Kelantan malam tadi, tanpa memainkan peranan sebagai “budak jahat” PKR, parti itu sudah pasti ‘dimakan’ oleh Mahathir.
"Kerana ‘budak jahat’ yang buat Hiruk ini bagitahu Mahathir: kalau tak boleh selesai (agihan kerusi), kita balik (tamatkan rundingan),” katanya.
Kelmarin ketika sesi rapat umum bertemu penyokongnya, Nurul Izzah memetik proses rundingan kerusi PH pada 2018. Ketika itu dia berperanan sebagai pengarah bersama pilihan raya.
Sementara itu Rafizi dalam ucapannya turut mendedahkan bahawa dia pada awalnya tidak setuju Bersatu menyertai PH kerana tidak mahu gabungan berkenaan dikuasai Mahathir.
Pada asalnya, dakwa Rafizi, dia mencadangkan supaya PH hanya bekerjasama dengan Bersatu dan bukannya membawa parti itu menjadi sebahagian daripada komponen mereka.
"Masuk (tahun) 2016, kita dah maklumkan kepada rakan-rakan dalam PH ketika itu bahawa jangan bagi Bersatu masuk. Kita cadangan hanya ada kerjasama politik supaya tak bertindih kerusi.
“Kalau bagi (Bersatu) masuk, Mahathir akan cuba kawal semua," katanya lagi.

