malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Selesai isu pekerja Bangladesh terkandas sebelum mula pengambilan baru'
Diterbitkan:  May 16, 2025 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM
ADS

Tenaganita mempersoalkan keputusan Putrajaya menyambung semula pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

Dalam satu kenyataan, pengarah eksekutifnya Glorene A Das berkata kerajaan tidak seharusnya memulakan semula pengambilan pekerja Bangladesh sehingga isu sedia ada membabitkan kumpulan itu diselesaikan.

"Memulakan semula pengambilan tanpa menangani ketidakadilan yang berterusan hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada," katanya.

Menurut Glorene, Malaysia telah membawa masuk 494,675 pekerja asing melalui saluran sah antara Jan 2022 dan Sept 2024, termasuk 351,683 dari Bangladesh.

Bagaimanapun, meski telah dijanjikan pekerjaan di negara ini, terdapat pekerja yang terkandas di Malaysia tanpa pekerjaan dan dibelenggu hutang.

“Ramai yang terperangkap dengan jaminan palsu, telah membayar sehingga RM25,000 sebagai yuran pengambilan, selalunya melalui hutang, hanya untuk mendapati diri mereka menganggur, tidak dibayar gaji, kehilangan tempat tinggal, dan hidup dalam risiko ditangkap.

“Kerajaan tidak boleh lepas tangan daripada ketidakadilan yang teruk ini dengan menyalahkan agensi perekrutan yang tidak mengikut peraturan.

"Pekerja ini tidak mungkin memasuki Malaysia untuk pekerjaan yang tidak wujud tanpa penglibatan aktif dan kelulusan agensi kerajaan. Sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa ini mengakui peranan mereka dan bertanggungjawab sepenuhnya.

"Ini bukan salah urus semata-mata. Ini adalah eksploitasi yang dibolehkan oleh kerajaan," tambah Glorene.

Dia berkata siasatan oleh Tenaganita mendedahkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 150 syarikat yang diberikan kuota pekerja walaupun tidak mempunyai sebarang operasi perniagaan yang sah atau kapasiti untuk menggaji warga asing.

"Namun daripada memperbaiki sistem yang rosak dan korup ini, kerajaan kini bersiap sedia untuk membuka pengambilan sekali lagi."

Glorene berkata mereka menentang sekeras-kerasnya langkah mengambil lebih ramai pekerja asing sehingga kerajaan mengambil tindakan segera untuk menangani masalah berbangkit.

Antara tindakan yang dicadangkan Tenaganita termasuk segera mengesahkan dan menyediakan penempatan pekerjaan kepada pekerja yang terkandas yang tiba melalui saluran rasmi.

Mereka juga menggesa Putrajaya mengenakan moratorium ke atas pengambilan baru sehingga sistem itu diperbaharui, dan tidak menjenayahkan pekerja terkandas yang menjadi pendatang tanpa izin kerana kegagalan sistem.

"Mari kita fahami dengan jelas: ini bukan warga asing yang melanggar undang-undang. Mereka adalah pekerja yang didokumentasikan yang dikhianati oleh sistem pengambilan yang tidk telus dan korup yang mendapat keuntungan daripada penderitaan mereka sambil melucutkan hak asasi mereka.

“Seperti yang telah kita katakan sebelum ini, Malaysia tidak perlu mengambil pekerja baru, ketika sudah ada ribuan di negara ini yang menganggur dan menunggu peluang untuk menyumbang,” katanya.

Menurut laporan media, Putrajaya telah bersetuju untuk menyambung semula pengambilan pekerja Bangladesh selepas mengentikan kemasukan mereka sejak 31 Mei tahun lalu.

Keputusan itu dilaporkan diambil berikutan beribu-ribu daripada mereka menjadi mangsa penipuan warga asing yang meluas di negara ini, yang menyebabkan pekerja itu terkandas tanpa pekerjaan dan sering dibelenggu hutang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen