Memberi pandangan dari luar gelanggang pemilihan PKR, bekas naib presiden parti itu, Tian Chua, memberikan pandangan berhubung kehangatan yang timbul ekoran pertembungan tajam jawatan nombor dua.
Mengingatkan bahawa ia boleh menyebabkan berlaku perbalahan atau perpecahan kepada parti, Chua berkata, ia lebih kritikal berbanding soal siapa yang akan memenangi jawatan masing-masing.
Baginya tidak ada sebarang masalah siapa yang nanti akan diangkat perwakilan sebagai timbalan presiden mereka selagi presidenya ialah Anwar Ibrahim.
“Selagi presiden parti ialah Anwar, dia yang akan memimpin parti, dia yang akan menentukan arah tuju parti, dan juga kerjasama dengan parti-parti lain.
"Yang lain sama ada timbalan presiden atau naib presiden atau (ahli) majlis pimpinan pusat (MPP), mereka adalah pelengkap kepada presiden parti.
"Saya rasa yang jadi risiko besar (ialah) bagaimana PKR boleh mengelakkan satu persaingan yang terlalu tajam sehingga berlaku perbalahan atau pepecahan.
“Itu saya rasa yang lebih kritikal (berbanding) daripada siapa menang dalam jawatan masing-masing," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Batu selama dua penggal itu berkata demikian ketika tampil sebagai panelis dalam siaran audio siar Explain Sikit, Kini! terbitan KiniTV.
Seorang lagi panel jemputan ialah Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
Mastura Malak pula bertindak sebagai hos.
Mengulas aspek kekuatan dan kekurangan antara Rafizi dan Nurul Izzah, Chua menyifatkan kedua-dua mereka sudah menunjukkan kemampuan dan berperanan sejak zaman reformasi.
Ada kelebihan tersendiri
Jelasnya, walaupun Nurul Izzah mungkin lebih popular dalam parti, Rafizi pula mungkin mendahului dalam kalangan penerimaan rakyat.
"Tapi bagi saya ialah Nurul Izzah tidak pernah memegang jawatan kerajaan dan tidak pernah sama ada dalam negeri atau negara. Itu yang menjadikan kekurangan pengalamannya dari segi pengurusan kerajaan.
"Rafizi telah ada peluang didedahkan sebagai menteri. Dari segi itu, Rafizi mempunyai kelebihan dalam kemampuan untuk memimpin parti pemerintah sekarang. PKR bukan lagi parti pembangkang.
"Itulah sebab team yang sama dalam keadaan PKR sekarang, ramai sudah menjadi menteri atau menteri besar. Bagi mengambil alih timbalan presiden itu, cabaran terbesar Nurul Izzah ialah bagaimana dia dapat mengumpul pengalaman yang cukup sekiranya ingin memimpin parti," katanya.

Chua bagaimanapun mengakui Nurul Izzah mempunyai kelebihan dalam persaingan sekarang dan menjangkakan bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu akan mengumpul lebih banyak undi apabila keputusan pemilihan diumumkan minggu depan.
“Ini saya simpati pada Rafiz, tapi sukar untuk dia menahan arus ini.
"Kita tak kisahlah mereka yang sokong (Nurul Izzah) sebab nak sokong Anwar, mereka menyokong sebab anggap Nurul Izzah mempunyai kemampuan yang lebih baik, itu realitik politik, ia akan menjadi satu swing.
"Tetapi saya lebih khuatir bagaimana kepimpinan presiden dengan kedua-dua calon menangani masalah untuk mengelakkan perpecahan yang tajam.
“Bagi saya bukan soal menang atau kalah, tetapi bagaimana kita menjaga proses ini untuk memperkukuhkan kekuatan antara mereka," katanya.

Sebelum itu Chua diminta mengulas kenyataan Rafizi yang mengatakan perwakilan yang tidak mengundi Nurul Izzah akan dianggap menolak Anwar.
Tambahnya, perlu juga diakui bahawa status Nurul Izzah sebagai anak Anwar akan memberi kelebihan tertentu.
“Saya fikir kita tidak perlu segan tentang kelebihan ini. Tapi isunya ialah sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, kamu perlu buktikan kemampuan diri dengan kelebihan itu.
“Tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kelebihan itu, sebaliknya buktikan kepada ahli, buktikan kepada rakyat bahawa kamu ini tidak bergantung hanya kepada kelebihan itu.
“Saya fikir mengakui hal itu adalah sebahagian daripada kerendahan hati. Kamu mengakui mempunyai kelebihan berbanding orang lain,” katanya.
Nilai dari kebolehan saja
Dia yang menjadi antara watak penting dalam gerakan Reformasi menjelaskan, perhatian juga akan diberikan kepada cara Nurul Izzah menggunakan kelebihan berkenaan untuk memanfaatkan PKR, penyokong dan rakyat.
Sementara itu Khalid pula mencadangkan agar isu status Nurul Izzah sebagai anak Anwar tidak diheret dan dibincangkan oleh penyokong atau perwakilan PKR, sebaliknya biarlah hanya pihak lawana politik yang memainkan sentimen itu.
Jelasnya, perwakilan harus membuat penilaian berdasarkan kemampuan dan kekuatan antara kedua-dua calon, bukan hubungan semula jadi Nurul Izzah dan Anwar.

"Bukan soal siapa anak siapa. Kalau kita undi oleh kerana dia anak PMX (Anwar) ataupun kita tak undi oleh kerana dia anak PMX, maka sebab yang kita undi itu adalah tidak betul.
"Dalam soal pendedahan (pengalaman) yang dilalui oleh Rafizi dan berbanding dengan Nurul Izzah, saya rasa memang Nurul Izzah menjadi mangsa kepada hakikat dia anak kepada Anwar,” katanya.
‘Nasib’ yang sama juga, pada pendapat Khalid, menimpa Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hanya kerana menjadi isteri perdana menteri, kata Khalid, Wan Azizah, ahli politik terbabit tidak lagi dapat memainkan peranan seperti sebelum ini, termasuk menjadi menteri.
"Sedangkan sepatutnya dikaji dari sudut kebolehan saja.
“Kalau kita nak gunakan itu (hubungan kekeluargaan) sebagai alasan, maka sampai bila-bilalah Nurul Izzah ini tidak akan diperlukan.
“Dia kena tunggu sampai Anwar dah meninggal dunia, barulah dia akan dilantik sebagai menteri ataupun timbalan menteri," jelasnya.

