malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kelahiran Cina merosot: MCA bimbang suara politik terhakis
Diterbitkan:  May 16, 2025 12:17 PM
Dikemaskini: 4:45 AM
ADS

Wanita MCA melahirkan kebimbangan kadar kelahiran etnik Cina di Malaysia yang semakin menyusut boleh mengubah secara asas kedudukan kaum itu dalam landskap politik negara.

Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, hanya 7,350 bayi etnik Cina dilahirkan dalam tempoh empat bulan pertama 2025 — merosot sebanyak 8.6 peratus, yang merupakan angka terendah dalam sejarah negara.

Pengerusi Nasional Wanita MCA, Wong You Fong berkata angka ini "tanda amaran serius bahawa kita sedang berdepan krisis demografi, sosial dan budaya."

“Jika trend ini berterusan, kita bukan sahaja menyaksikan populasi yang semakin mengecil, tetapi berdepan kemungkinan besar menjadi kaum minoriti yang terpinggir di negara sendiri.

"Perubahan ini akan melemahkan perwakilan politik, pengaruh ekonomi dan jejak budaya kita,” katanya lagi.

Wong memberi amaran perubahan demografi ini berisiko mengganggu keseimbangan masyarakat majmuk yang menjadi teras kestabilan dan pembangunan Malaysia sejak merdeka.

Akar masalah

Wong mengakui punca utama kemerosotan kadar kelahiran ini cabaran ekonomi yang dihadapi keluarga muda — kos sara hidup tinggi, pendidikan mahal, harga rumah tidak mampu milik, kekurangan pilihan penjagaan kanak-kanak, serta tekanan imbangan antara kerja dan kehidupan bagi wanita.

Katanya, masalah-masalah ini semakin memburuk tanpa ditangani dengan wajar.

“Walaupun kita bangga ramai anak muda kita bercita-cita tinggi, kita juga harus akui ramai memilih untuk tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak.

"Bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi kerana mereka rasa mereka tidak mampu. Kita sedang menyaksikan hakisan harapan dan keyakinan untuk membina kehidupan keluarga yang stabil,” ujarnya.

Wong turut menyeru para pendidik di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk "membimbing pelajar memahami bahawa membina keluarga bukan semata-mata keputusan peribadi tetapi asas masyarakat."

“Tidak ada ruang untuk berpeluk tubuh. Ini saat penentu. Jika kita benar-benar prihatin terhadap masa depan kita sebagai sebuah komuniti dan negara, kita mesti bertindak sekarang — dengan segera, empati dan matlamat yang jelas,” tegas Wong.

Kadar kelahiran M'sia susut

Malaysia dilaporkan mencatatkan kadar kelahiran terendah dalam sejarah, dengan hanya 93,500 bayi dilahirkan dalam suku pertama 2025 — penurunan 11.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan semalam, semua negeri mencatatkan penurunan kelahiran kecuali Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata ketiga-tiga negeri ini mencatatkan kadar kesuburan melebihi paras penggantian 2.1 anak setiap wanita.

Terengganu merekodkan kadar kesuburan tertinggi dengan 2.9 anak per wanita, diikuti Kelantan dengan 2.7 dan Pahang 2.1.

Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mencatatkan kadar kesuburan terendah dengan hanya 1.2 anak bagi setiap wanita manakala Sabah, yang sebelum ini antara negeri tertinggi, menurun kepada 1.4.

Menurut Mohd Uzir, Sabah mengalami penurunan kadar kesuburan paling pantas, daripada 5.5 anak bagi setiap wanita pada 1980 kepada 1.4 pada 2022.

Kaum Cina mencatatkan kadar kesuburan terendah keseluruhan, iaitu hanya 0.8 anak per wanita.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen