PKR boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli jawatankuasa (AJK) cabang yang mengugut untuk meletakkan jawatan atau cuba menggugat kelancaran perjalanan kongres nasional parti berkenaan.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata individu yang bertindak sedemikian juga mungkin berdepan tindakan disenarai hitam daripada bertanding lagi sekiranya pemilihan cabang diadakan semula akibat peletakan jawatan mereka.
“Setiausaha Agung PKR (Fuziah Salleh) ada sebut tadi mengenai beberapa cabang yang mengugut meletak jawatan AJK hanya kerana mereka tidak setuju atau tidak suka ketua cabang (yang menang).
"Apa yang setiausaha agung telah sebutkan, sekiranya mereka mengambil tindakan seperti itu (mengugut meletak jawatan) maka keputusan telah dibuat jawatankuasa pemilihan parti (JPP) dan Fuziah ialah, sekiranya perlu diadakan pertandingan semula, semua mereka yang terlibat dalam tindakan itu mungkin disenarai hitam dan diharamkan bertanding semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jelajah Kita Keadilan di Dewan Tok Mat Yahoo, Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.
Ia turut dihadiri Fuziah.
Fahmi berkata demikian bagi mengulas tindakan sekumpulan AJK PKR Lenggong dan Masjid Tanah yang mahu meletakkan jawatan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti itu pada bulan lalu.
Bagaimanapun, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, setelah maklumat disampaikan kepada AJK dua cabang terbabit, mereka mempertimbangkan semula keputusan untuk meletakkan jawatan sebelum akhirnya membatalkan hasrat berbuat demikian.
Selain itu, Fahmi berkata perjalanan pemilihan berlangsung dalam suasana meriah malah di peringkat cabang juga aman tanpa sebarang insiden kekerasan, merosakkan harta benda atau mengganggu ketenteraman awam.
Justeru, katanya, pemilihan kali ini jauh lebih berkesan dan baik berbanding sebelumnya.
Sementara itu mengenai persiapan Kongres Nasional PKR pada 23 hingga 25 Mei ini di Johor Bahru, Fahmi berkata, ia berjalan lancar dengan usaha Jelajah Kita Keadilan oleh Pejabat Setiausaha Agung dengan JPP yang telah pergi ke beberapa lokasi.
"Ia akan terus dilaksanakan hingga minggu depan. Ini adalah langkah yang baik dan neutral.
“Kita (PKR) tidak membenarkan atau berkempen secara kelompok atau berkumpulan, malah nanti hari pemilihan juga tidak dibenarkan menggunakan cai ataupun menu.
"Saya teliti dalam sistem pemilihan, gambar calon-calon dimuat naik dengan semua latar belakang biru muda dan ini juga menunjukkan bahawa kita mengetepikan semua fraksi, kumpulan atau pasukan dalam bertanding sebaliknya kita (bertanding) dalam keluarga besar Keadilan (PKR)," katanya.
Kongres Nasional PKR bersekali dengan Kongres AMK dan Wanita dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Mei dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.
- Bernama

