malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: 'Bakal PM' patut debat, bukan 'ceramah pasar malam'
Diterbitkan:  May 16, 2025 9:52 AM
Dikemaskini: 1:52 AM
ADS

Pensyarah universiti, Tajuddin Mohd Rasdi, menganggap Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar memang sesuai menjadi calon perdana menteri pada masa hadapan, justeru debat di antara kedua-dua mereka penting untuk membentuk wacana politik negara.

Profesor itu juga menekankan bawah ada keperluan untuk memupuk budaya perdebatan yang sihat, profesional dan menjauhi amalan ceramah "pasar malam" yang dianggap ketinggalan zaman serta bersifat sehala.

"Bagi calon perdana menteri masa depan, perbahasan yang matang harus menjadi satu kemestian," katanya merujuk kepada pertembungan di antara Rafizi dan Nurul untuk jawatan nombor dua dalam PKR.

Tajuddin juga mencadangkan perdebatan itu boleh mengandungi 10 soalan.

“Tiga soalan mengenai parti, tiga soalan lagi mengenai persediaan dan strategi untuk PRU akan datang, manakala empat mengenai isu negara seperti mitigasi konflik kaum-agama, media sosial dan kebebasan bersuara, pemikiran semula aspek ekonomi dan pendidikan.

“Ini adalah peluang untuk PKR dan kedua-dua calon menetapkan amalan politik matang di negara ini dan mencorakkan masa depan kita.

“Ia juga membuka peluang kepada kedua-dua calon menonjolkan kekuatan PKR dan keunikan kepimpinannya,” kata pensyarah bidang seni bina itu lagi.

Gagasan untuk Rafizi dan Nurul Izzah dicadangkan oleh pemimpin PKR sebelum ini sebagai persediaan parti itu membuat pilihan mengenai timbalan presiden.

Rafizi yang juga menteri ekonomi sudah menyatakan kesediaannya dan menganggap ia boleh meredakan ketegangan yang terhasil daripada persaingan sengit satu lawan satu itu.

Bagaimanapun, Nurul Izzah setakat ini tidak memberikan sebarang komitmen untuk berdepan dengan Rafizi, sebaliknya mahu menumpukan gerakan kepada kempen bertemu dengan para perwakilan.

Bagi Nurul Izzah, langkah itu diambil kerana pihaknya mahu meredakan ketegangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen