malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mitra nafi tiada sekolah guna komputer di bawah program RM3.26 juta
Diterbitkan:  May 15, 2025 8:31 PM
Dikemaskini: 1:00 PM
ADS

Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) menafikan dakwaan Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam bahawa tiada satu sekolah pun menggunakan komputer riba refurbished (terpakai dan diperbaharui) yang diedarkan di bawah program bernilai RM3.26 juta.

Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra berkata tinjauan mereka mendapati program itu memberi kesan positif kepada pentadbir sekolah dan guru-guru.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi JPPK Mitra P Prabakaran berkata kajian keberkesanan program telah dilaksanakan dari 22 Ogos hingga 27 September 2024, dengan borang tinjauan telah diedarkan kepada semua 520 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Sebanyak 161 buah sekolah iaitu 31% daripada 520 sekolah telah memberikan maklum balas. Berdasarkan hasil tinjauan, didapati 90% sekolah menyatakan bahawa pemberian komputer riba ini membantu murid sekolah dalam Persekitaran Pembelajaran Maya (Virtual Learning Environment-VLE).

"Secara keseluruhan, tinjauan terhadap impak juga mendapati program ini telah memberi impak yang positif daripada pentadbir sekolah dan guru-guru.

"Selain itu, pihak pembekal telah mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan aduan-aduan yang dikemukakan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dicabar menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat program bantuan komputer riba refurbished di bawah Mitra, unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Subramaniam turut mengemukakan cabaran serupa terhadap P Prabakaran yang ketika itu baru dilantik sebagai pengerusi Mitra.

Katanya, program yang dilancarkan pada November 2023 itu masih menjadi 'misteri'.

"Sudah lebih dua tahun. Tak ada satu sekolah pun pakai komputer riba ini sekalipun untuk kegunaan di sekolah. Pelik kan,” kata Subramaniam.

Katanya, komputer riba yang dibekalkan Mitra itu tidak dapat menyokong sistem pembelajaran di sekolah.

Semakan Malaysiakini di lebih 10 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor sebelum ini mengesahkan komputer riba yang diterima tidak dapat digunakan.

"Memang tak dapat digunakan. Ia tak sokong sistem pembelajaran dan pengajaran (PdP). Kami juga tak dapat muat turun program Excel, Microsoft Word dan sebagainya.

"Kita kena faham. Program-program ini asas kepada murid sekolah rendah untuk mengetahui komputer.

"Kalau, komputer riba diberikan oleh Mitra tak dapat sokong program-program ini, kami tak boleh menggunakan di sekolah," kata seorang pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah yang enggan identitinya didedahkan.

Program bantuan komputer ini dilancarkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia R Ramanan untuk SJKT pada 2023.

Objektif program itu adalah untuk membantu murid-murid SJKT lebih bersedia menghadapi keperluan pembelajaran abad ke-21 serta mengurangkan jurang digital di sekolah-sekolah luar bandar dan bandar.

Program ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Mitra JPM Bil. 4 Tahun 2023 yang bersidang pada 21 Julai 2023 berdasarkan tatacara dan peraturan pemberian geran yang diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Melalui program ini sebanyak 6,000 unit komputer riba refurbished diagihkan kepada 520 buah SJKT pada 31 Januari 2024.

Jumlah peruntukan untuk komputer riba berkenaan adalah sebanyak RM2,994,000.00 tidak termasuk kos lain seperti penghantaran.

Pembayaran telah dilaksanakan secara berfasa seperti berikut: Fasa Pertama 50% telah disalurkan pada 12 September 2023, Fasa Kedua 40% telah disalurkan pada 6 Disember 2023 dan baki 10% akan disalurkan selepas meneliti laporan keberhasilan program tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen