Pengaruh media yang meluas serta penyebaran maklumat palsu yang pantas pada era ini menjadikan penghasilan kandungan yang beretika dan boleh dipercayai perlu diambil berat.
Menyedari tanggungjawab ini, Malaysiakini, dengan kerjasama Unesco dan sokongan Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, melancarkan secara rasmi Young Creator Fellowship 2025. Program ini merupakan sebahagian daripada Youth Journalism Programme, yang turut dijayakan bersama rakan kerjasama iaitu Hawana dan Universiti Monash Malaysia.
Youth Journalism Programme menyasarkan golongan muda Malaysia berumur antara 18 hingga 25 tahun, dengan objektif untuk memperkukuh literasi media, memupuk kemahiran penceritaan yang bertanggungjawab serta melahirkan wartawan, pencipta kandungan dan pempengaruh dalam kalangan generasi baharu yang beretika dan berwibawa.
Pemerkasaan literasi media dan digital
Program ini akan dimulakan dengan sesi Young Creator Online Training, yang terdiri daripada dua siri latihan dijadualkan pada 15 dan 29 Jun 2025. Sepanjang sesi ini, para peserta akan didedahkan kepada bimbingan oleh pakar dalam pelbagai topik utama seperti literasi media, privasi data, penceritaan multimedia, kewartawanan data, serta pemikiran kritis.
Tenaga pengajar yang akan membimbing sesi latihan dalam talian termasuk Aidila Razak, jurulatih Google News Initiative merangkap bekas editor laporan khas Malaysiakini; Kuek Ser Kuang Keng, editor digital Pulitzer Centre; serta Iqbal Fakhti, ketua pengarang Cilisos. Latihan dalam talian ini direka dengan pendekatan interaktif, lengkap dengan kuiz dan tugasan yang memberi ruang kepada peserta untuk menyerlahkan tahap pemahaman serta daya kreativiti mereka.
Sepuluh peserta terbaik daripada sesi Young Creator Online Training akan dipilih untuk meneruskan fasa kedua program iaitu Young Creator Fellowship.
Fellowship dan pentas akhir
Fellowship yang ditanggung sepenuhnya akan berlangsung dari 16 hingga 18 Julai 2025, selepas fasa bimbingan bersama tenaga pengajar yang diadakan dari 1 hingga 15 Julai. Sepanjang tempoh bimbingan ini, setiap fellow diwajibkan menghasilkan sebuah video berdurasi tiga minit berasaskan topik yang menjadi tumpuan awam.
Sepanjang tempoh fellowship, para peserta akan menerima latihan praktikal dalam bidang kewartawanan dan berpeluang mengikuti lawatan ke institusi media terkemuka seperti Media Prima, RTM, Bernama, Astro, BFM, serta Malaysiakini. Program ini direka khusus untuk memberikan pengalaman sebenar kepada para peserta serta memperluas pemahaman mereka tentang selok-belok dunia kewartawanan.

Hari terakhir fellowship akan berlangsung dengan sesi persembahan akhir dan penilaian awam yang dijadualkan pada 18 Julai, jam sembilan pagi di Universiti Monash. Kesemua sepuluh peserta akan membentangkan projek video mereka di hadapan panel juri profesional. Pemenang akan dipilih berdasarkan penilaian juri dan hadiah keseluruhan berjumlah RM17,000 akan disampaikan.
Adakah anda pencerita muda yang kami cari?
Penyertaan kini dibuka kepada pencerita, pencipta kandungan, dan peminat dalam bidang kewartawanan. Jika anda berusia antara 18 hingga 25 tahun, berfikiran kritis dan ingin menyuarakan hal-hal yang penting — inilah peluang anda!

Apa yang anda perlu lakukan hanyalah menghantar satu karangan ringkas yang memperkenalkan diri anda, menerangkan perkara yang anda utamakan, serta mengemukakan alasan mengapa suara anda layak didengari di platform ini.
Tarikh tutup penghantaran adalah pada 1 Jun 2025.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://mk.my/goCEMVY

