Seramai tujuh pimpinan dan ahli Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada pemilihan kali ini.
Mereka terdiri daripada pengerusi Mustapa Mansor; timbalannya Sangkar Rasam; Pengerusi PKORM Negeri Sembilan Rafee Ibrahim; Pengerusi PKORM Pulau Pinang, senator Amir Ghazali; ahli kehormat PKORM yang juga Adun Chuah Yew Boon Lye dan ahli PKORM Wan Ibnul Bahar Wan Ismail.
Mustapa berkata penyertaan mereka antara lain untuk memberikan semak dan imbang terhadap barisan pimpinan agar tidak tergelincir daripada matlamat perjuangan asal PKR.
Jelasnya, calon MPP daripada PKORM juga mahu menjadi jambatan perhubungan yang erat antara reformis pejuang reformasi dengan akar umbi seluruh negara.
“Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam perjuangan politik dan mengharungi pelbagai cabaran, Otai Reformis mempunyai selok-belok strategi yang berfaedah untuk merangka keputusan dasar parti,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai pertembungan antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden, Mustapa menyifatkannya sebagai ‘pertandingan keluarga’ yang perlu ditangani dengan matang.
Katanya, persaingan itu adalah sesuatu yang sihat dalam parti dan tidak sepatutnya menjadi punca perpecahan.
“Bagi pihak kami, jangan timbul masalah kemudian. Kalau masalah keluarga, baik-baik pakatlah secara dalaman. Masalah parti kita adalah masalah dalaman dan kita selesaikan dengan cara yang terbaik,” katanya.
Dia turut menasihatkan para penyokong supaya tidak bertindak keterlaluan sepanjang tempoh kempen dan mengelak daripada menyerang peribadi mana-mana calon.
Katanya, tumpuan pemilihan seharusnya diberikan kepada idea, prinsip dan sumbangan setiap calon, bukan sentimen atau provokasi sesama sendiri.
“Saya menyeru penyokong-penyokong di sebelah sana dan sebelah sini supaya jangan terlalu teruja, terlalu bergebu-gebu nak menegakkan kebenaran. Sebenarnya, kedua-dua itu benar tetapi janganlah overclaim,” katanya lagi.

