Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan menikam anak lelakinya menggunakan pisau pemotong sayur hingga menyebabkan cedera parah.
Asrolfandi Mohd Ab Suki, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Zulkpli Abdullah.
Tertuduh didakwa berniat membunuh anak lelakinya, 11, dengan menikam mangsa sebanyak dua kali menggunakan sebilah pisau hingga menyebabkan kecederaan parah di kediaman mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung.
Kejadian didakwa berlaku pada jam 8.55 pagi, 2 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan pendakwa raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, tidak menawarkan sebarang jaminan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan forensik serta dapatan pemerhatian psikiatri terhadap tertuduh dari Hospital Bahagia di Ipoh, Perak.
- Bernama

