Sempena sambutan Hari Guru kali ini, seramai 115 pendidik diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid seluruh Perak, esok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Mohd Annuar Zaini dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah memperkenankan penglibatan guru-guru tersebut menjadi khatib sebagai penghargaan atas peranan penting mereka.
"Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah memperakukan nama 115 pegawai perkhidmatan pendidikan di Perak untuk diangkat sembah kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak bagi mendapatkan perkenan baginda,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Annuar berkata Jabatan Agama Islam Perak menyediakan teks khutbah Jumaat bertajuk Guru Rabbani: Membangun Kemuliaan Insan bagi tujuan berkenaan.
Minggu lalu Sultan Nazrin turut memperkenankan golongan belia menyampaikan khutbah Jumaat di masjid seluruh negeri bersempena sambutan Hari Belia Negara.
Hari Belia Negara diraikan pada hari ini.
- Bernama

