Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar malam tadi menyatakan azamnya untuk membawa parti itu memenangi PRU ke-16 menerusi beberapa langkah tuntas.
Dia yang bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR sesi 2025-2028 berkata, antara langkah wajar diambil ialah mengukuhkan hubungan antara rakan komponen serta parti gabungan PH untuk meningkatkan kepercayaan pengundi, selain pemerkasaan wanita dan belia.
"Berilah saya peluang, saya nak pastikan kita tanam rasa cinta sesama kita, rasa sayang sesama kita walau kita berbeza kaum, berbeza agama, berbeza puak tetapi kita mampu melangkaui sama ada ego, geram dan dendam.
“Maka inilah penentu sama ada kita boleh hidup segar-bugar dalam setahun, dua tahun sampailah 100 tahun lagi," katanya.
Nurul Izzah berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah Anwar di Shah Alam.
Turut hadiriMenteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.
Kedua-dua mereka bertanding bagi jawatan naib presiden.
Pada sidang media selepas itu, Nurul Izzah berkata pada pemilihan kali ini pihaknya lebih menumpukan kepada penganjuran program berimpak tinggi serta menyantuni perwakilan lebih-lebih lagi golongan wanita dan muda selain mengurangkan ketegangan.
- Bernama

