malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ibu rayu polis keluar notis merah suami larikan anak
ADS

Seorang ibu hari ini merayu polis Malaysia mengeluarkan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap suaminya yang didakwa melarikan anak mereka ke sebuah lokasi di luar negara sejak 2023.

Rayuan itu dibuat selepas suaminya dilaporkan gagal mematuhi perintah mahkamah tinggi supaya memulangkan kanak-kanak berkenaan kepada ibunya.

Menurut ibu berkenaan, mahkamah memberikan hak jagaan sementara (ad-interim) ke atas anaknya pada Julai 2023 sementara menunggu proses perceraian.

Suaminya pula hanya dibenarkan lawatan berjadual di lokasi tertentu secara berselang minggu.

Namun, kurang dua bulan selepas itu, dia mendakwa suaminya mengambil kesempatan semasa sesi lawatan untuk melarikan anaknya.

Mahkamah kemudian memutuskan memberikan hak jagaan penuh anak perempuan mereka kepada ibu berkenaan.

Pada Mac lalu, ibu itu mendakwa berjaya menjejaki suaminya di luar negara namun tidak dibenarkan berjumpa anaknya.

Ibu berkenaan turut mendakwa telah membuat beberapa laporan polis di Malaysia tetapi tiada tindakan diambil.

Minggu lalu, mahkamah tinggi dilaporkan sekali lagi mengeluarkan perintah kepada Kannan supaya memulangkan anaknya itu dalam tempoh tujuh hari, jika gagal waran komital akan dikeluarkan.

Ibu berkenaan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera agar keadilan dapat ditegakkan.

“Sudah lebih 20 bulan anak saya dibawa lari. Walaupun ada perintah mahkamah dan waran tangkap aktif, tiada tindakan tegas diambil.

"Apa sebenarnya yang sedang polis buat," soalnya.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama pihak terlibat bagi melindungi identiti kanak-kanak tersebut, seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen