malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Video tular disunting, berniat jahat - Ketua PKR Wangsa Maju
Diterbitkan:  May 14, 2025 9:01 PM
Dikemaskini: 1:01 PM
ADS

Ketua Cabang PKR Wangsa Maju Lai Chen Heng hari ini mengecam klip video yang didakwa menunjukkan dia membincangkan urusan kewangan cabang itu.

Dia dilaporkan oleh Free Malaysia Today menyifatkan klip itu sebagai tindakan terancang untuk menjatuhkan imejnya.

Video itu, yang telah tersebar di beberapa platform media sosial, memaparkan Lai membincangkan sumbangan kewangan kepada cabang itu daripada seorang ahli perniagaan terkemuka, yang didakwa menyifatkannya sebagai "dana tidak diaudit" dikaitkan dengan seorang tokoh politik kanan.

Free Malaysia Today memetik sumber melaporkan bahawa PKR mungkin mengambil tindakan tatatertib terhadap Lai berhubung video itu selepas kongres nasional parti itu yang dijadualkan pada 24 Mei.

Dilaporkan juga bahawa timbalan Lai, Azmee Abd Rahim, dijangka dilantik sebagai pemangku ketua.

Lai berkata dia akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat, khususnya individu yang berkongsi video yang saya percaya telah disunting.

“Saya juga percaya ia disebarkan secara meluas di pelbagai platform secara terancang dengan tujuan menjatuhkan imej saya.

“Ini berlaku ketika musim pemilihan parti. Ia mungkin satu kebetulan, namun saya harap media tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya seperti dilapor.

Lai sebelum ini dilaporkan menafikan dakwaan manipulasi dalam penyata kewangan 2024 cabang itu, menyifatkan dakwaan itu sebagai bermotifkan politik.

Dia berkata laporan kewangan yang dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan cabang pada 1 Mac tidak menerima bantahan.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata dia akan mencadangkan penggantungan sementara cabang Wangsa Maju atas isu prosedur.

Dia juga berkata cabang itu diarah mengadakan mesyuarat agung khas pada 1 Mac untuk menyerahkan semula penyata kewangan 2024, yang tidak mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada pejabat setiausaha agung.

Berikutan perundingan lanjut, satu mesyuarat telah diadakan pada 24 Mac untuk menjelaskan butiran dalam laporan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen