malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR Sabah dakwa Ramanan remehkan sumbangan Rafizi
Diterbitkan:  May 14, 2025 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM
ADS

Pemimpin PKR Sabah mengkritik calon naib presiden parti itu, R Ramanan, kerana disifatkan merendahkan sumbangan Rafizi Ramli dalam memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya sebelum ini.

Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Sabah Fekirie Gobet mempertikaikan cadangan Ramanan bahawa pesaing Rafizi bagi jawatan timbalan presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, harus mengetuai kempen PKR pada pilihan raya umum akan datang.

Sambil menyatakan keraguan terhadap kelayakan Ramanan sebagai seorang reformis, Fekirie berkata usaha Rafizi yang berhasil membantu PKR beroleh kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018 tidak harus diketepikan.

"Saya di sini tidak ingin mempertikai peranan Nurul Izzah selaku pengarah pilihan raya, namun di mana Ramanan ketika itu?

"Beliau bercakap seolah beliau terpaling berjuang dan mewakili suara para reformis namun beliau hanya bersama PKR pada 2020 selepas tidak mendapat ruang dalam BN.

"Beliau juga dilihat merendahkan peranan Rafizi pada PRU ke-14 lalu, namun hakikatnya semua tahu Rafizi adalah arkitek kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH),” kata Fekirie dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Sabah Fekirie Gobet

Fekirie menegaskan bahawa Rafizi menggunakan data daripada syarikatnya, Invoke Solutions, supaya PH dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan kawasan pilihan raya, dan ahli parlimen Pandan itu juga melakukan beberapa lawatan untuk melibatkan pengundi atas pagar.

Fekirie menegaskan walaupun Rafizi memilih untuk berehat ketika ramai pemimpin PKR menikmati "kerusi empuk Putrajaya", menteri ekonomi itu kemudiannya kembali dengan strategi baru dalam bentuk pergerakan Ayuh Malaysia untuk pilihan raya umum (PRU) 2022.

"Di sini kita lihat kebolehan Rafizi selaku pakar strategi merealisasikan sesuatu yang mustahil. Dan beliau bukanlah seorang yang gilakan jawatan melainkan hanya menggalas amanah yang diberi.

"Malah, dalam kenyataan beliau sebelum ini, beliau sedia melepaskan jawatan menteri dan memberikan tumpuan kepada parti.

"Namun adakah Ramanan sanggup lakukan apa yang Rafizi lakukan? Saya yakin andai PKR bukan lagi kerajaan, beliau akan 'cari makan' di parti lain," katanya.

Fekirie muga mendakwa Ramanan gagal berfungsi sebagai timbalan ketua penerangan PKR, dan hanya baru-baru ini mengeluarkan kenyataan "menjilat" terhadap Nurul Izzah.

Ramanan sebelum ini menjulang Nurul Izzah sebagai 'panglima perang' PKR untuk pilihan raya umum akan datang.

Kata Ramanan, dengan Nurul Izzah memainkan peranan itu, dia percaya parti itu boleh memperoleh 70 atau 80 kerusi parlimen.

PKR memenangi 31 kerusi pada pilihan raya umum 2022, yang menyaksikan Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen