Trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Perak adalah dalam keadaan layak dipandu, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Berita Harian melaporkan Saifuddin berkata walaupun dikeluarkan pada 1997, kenderaan itu diselenggara dengan baik dan berfungsi dengan baik.
Laporan itu memetik dia berkata bahawa usia trak itu tidak boleh dilihat sebagai faktor penyumbang kepada kemalangan berkenaan.
“Saya kena tegaskan bahawa walaupun umurnya sudah lama iaitu pembuatan tahun 1997, tetapi rekod penyelenggaraannya tiada masalah... justeru ia masih layak untuk berada di atas jalan raya.
“"Jadi, insiden semalam terlalu awal untuk kita ramalkan sama ada kemalangan itu berpunca daripada 'human error' (kesilapan manusia),” Saifuddin dilaporkan berkata, selepas melawat keluarga salah seorang pegawai yang meninggal dunia.
Trak yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam itu bertembung dengan sebuah lori sarat muatan batu di Teluk Intan, mengorbankan lapan di tempat kejadian, manakala seorang lagi maut akibat kecederaan ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Bernama melaporkan, mereka yang terkorban ialah Perumal Sugunanathan, 44, Roslan Abd Rahim, 46, Pozli Jaudin, 41, Nurit Pandak, 34, Amiruddin Zabri, 38,Hilmi Azlan, 38, Akmal Muhamad, 35, Damarrulan Abdul Latif, 383 dan Akmal Wafi Annuar, 28.
Pemandu lori berusia 45 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu direman empat hari, mulai hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Bakri Zainal Abidin mengesahkan majistret Naidatul Athirah Azman mengeluarkan perintah reman terhadap suspek.
Polis dilaporkan menyiasat pemandu itu mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya. Jika sabit kesalahan, kesalahan itu membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun, berserta denda sehingga RM50,000.

