Parti-parti pembangkang yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan dilihat 'luntur' perjuangan asal dan terjerumus dalam politik wang, kata Ahli Parlimen PKR, Wong Chen.
Bercakap pada satu majlis di ibu negara, Wong yang juga penyokong kerajaan berkata budaya politik yang 'rosak' semakin ketara, khususnya dalam pemilihan parti yang berlangsung baru-baru ini melibatkan komponen PH.
Menurutnya, budaya politik yang merosot itu jelas dapat dilihat dalam pemilihan dalaman DAP dan PKR.
"Kita kini menghadapi budaya politik yang rosak, dan politik wang telah menular, seperti yang anda dapat lihat semasa tempoh pemilihan DAP dan PKR," katanya ketika berucap.
Wong turut mengenang kembali zaman awal penglibatannya dalam PKR, zaman parti itu kekurangan dana dan menjalankan aktiviti ceramah di pondok kecil atau kedai kopi.
"Ketika saya mula menyertai PKR, kita buat ceramah di pondok atau warung kopi. Tapi sekarang, ia diadakan di hotel-hotel mewah.
"Dari mana datang semua wang ini? Saya pun tak tahu. Duit saya cukup untuk sara keluarga saya, tapi tidak cukup untuk biayai kerjaya politik saya," ujarnya.
Wong juga bimbang budaya politik yang kini semakin 'menakutkan', apabila parti-parti yang dahulunya pembangkang tetapi kini berada dalam kerajaan dilihat mula terjerumus kepada budaya yang sebelum ini cuba dijauhi.
"Kita semua seolah-olah sudah hilang akar. Kita semua (buat) program di tempat mewah, sampai penyokong kita pun dah terbiasa," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran buku Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia tulisan ahli ekonomi politik dan pensyarah Edmund Terence Gomez, di Kuala Lumpur semalam.

Majlis tersebut dianjurkan bersama oleh Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) dan Coalition for Business Integrity.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini menegaskan parti itu kini berdepan kekangan kewangan untuk menampung keperluan ahli akar umbi.
Menteri ekonomi itu berkata demikian sebagai reaksi terhadap kritikan Timbalan Ketua Penerangan PKR R Ramanan, yang sebelum ini membangkitkan isu pemimpin parti yang sukar diakses selepas memegang jawatan tinggi.
"Jaga akar umbi seperti Ramanan cakap itu, itulah politik wang. Saya tidak jaga parti macam itu.
“Kalau nak kata saya tidak jaga akar umbi, saya mengaku sebab PKR ini parti reformasi. Kalau nak buat macam itu (misalnya beri wang atau hamper) baik saya masuk parti lain,” katanya.
Rafizi turut mendakwa terdapat calon ketua wanita PKR yang berbelanja ratusan ribu ringgit semata-mata untuk membeli tudung yang diagihkan kepada perwakilan.
Katanya, amalan menjaga akar umbi dengan cara memberi wang bertentangan dengan nilai asal perjuangan PKR.

