malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PSM: Tuduhan terhadap Ramasamy sandiwara bermotifkan politik
Diterbitkan:  May 14, 2025 1:36 PM
Dikemaskini: 8:05 AM
ADS

Tanpa menapis kata-katanya, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan menyifatkan pertuduhan yang dikenakan ke atas bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy sebagai bermotifkan politik.

Dia juga mencabar DAP untuk berkongsi pendapat mereka mengenai perkara itu, kerana Ramasamy adalah sebahagian daripada parti itu pada masa dia didakwa melakukan salah laku.

“Hari ini, saya berpendirian untuk mengatakan pertuduhan Ramasamy oleh SPRM adalah bermotifkan politik dan satu sandiwara.

"Pertuduhan terhadap Ramasamy adalah semasa dia menjadi TKM (timbalan ketua menteri). Adakah ini bermakna pemimpin DAP mengamalkan rasuah semasa memegang jawatan?

“Harap DAP boleh berkata sesuatu mengenai perkara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi, Ramasamy memohon supaya dibicarakan atas 17 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) di mahkamah Sesyen Butterworth.

Ramasamy, yang berkhidmat sebagai pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) dari 2010 hingga 2023, dituduh menggunakan RM859,131.29 dana PHEB antara Mei 2019 dan Februari 2022 tanpa mendapat kelulusan rasmi lembaga itu.

Tuduhan itu dikaitkan dengan perolehan pedati Thaipusam bersalut emas pada 2019, dan pembayaran tajaan pendidikan dan bantuan perubatan kepada dua individu.

Bekas Adun Perai itu bertindak meninggalkan DAP pada 2023 selepas dia digugurkan daripada bertanding pada pilihan raya negeri Pulau Pinang.

Bagi Arutchelvan, adalah mudah untuk mendakwa Ramasamy kerana dia tidak lagi berkuasa.

Dia juga membandingkan pengendalian SPRM terhadap kes Ramasamy dengan skandal rasuah Sabah, yang mana tiada sesiapa pun didakwa sehingga hari ini.

“Dwistandard SPRM, terutamanya dalam mengendalikan (skandal) rasuah Sabah, begitu ketara sehingga ia telah kehilangan semua kredibiliti sebagai pembasmi rasuah.

“Ia hanyalah satu lagi alat untuk digunakan menentang musuh politik sejak pemansuhan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri),” kata bekas ahli majlis Kajang itu.

Untuk kredit Ramasamy, pemimpin PSM itu menyatakan bahawa bekas pemimpin DAP tersebut hanya didakwa atas kesalahan prosedur, bukan kerana menipu wang.

Azam Baki

"Dengan menyamakan pertuduhan ini, ketua pesuruhjaya SPRM (Azam Baki) yang baru dilanjutkan kontraknya hanya mengalih perhatian Ramasamy daripada menulis lebih banyak artikel mengkritik perdana menteri," kata Arutchelvan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen