malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemilihan cabang PKR jauh lebih tertib berbanding sebelum ini - Fahmi
Diterbitkan:  May 14, 2025 12:09 PM
Dikemaskini: 4:09 AM
ADS

Pemilihan di peringkat cabang-cabang PKR pada April lalu disifatkan jauh lebih tertib dan teratur jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu, kata ketua penerangan parti itu, Fahmi Fadzil.

Katanya keputusan PKR untuk menggunakan sistem baru dalam pemilihan cabang turut menggambarkan ia sebuah parti yang menjamin integriti sesiapa yang dipilih tanpa gangguan mana-mana pihak.

“Kali ini parti telah buat keputusan awal untuk memanfaatkan teknologi dan tidak membenarkan berkumpul beramai-ramai untuk (proses) mengundi di peringkat cabang.

“Kita (PKR) dapati proses seperti itu amat membantu menjaga tertib dan disiplin.

“Malah keputusan itu bagi saya tepat kerana, pertama, menunjukkan PKR sebuah parti yang pandang ke depan, memanfaatkan teknologi seperti blockchain untuk menjamin integriti pemilihan utuh dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak, di samping disiplin (ahli) patuh keputusan parti untuk tidak berkumpul lebih 50 orang di satu-satu tempat,” katanya.

Dia yang juga menteri komunikasi berkata demikian pada program wawancara khas Interview terbitan Sinar Harian yang disiarkan malam tadi.

Mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa pemilihan PKR kali ini sebagai ‘bising’, Fahmi berkata prosesnya jauh lebih tenang tanpa mana-mana pemilihan terhenti atau tergendala sepenuhnya berbanding sebelum ini, terutamanya pada 2019 iaitu sebelum berlakunya Langkah Sheraton.

“Bagi saya ia seribu kali lebih baik berbanding sebelum ini. Saya sangat tidak setuju bahawa ia adalah pemilihan yang bising, tapi kita semua faham demokrasi itu bingit, ia bingit, tapi bukan chaos.

“Jadi kebingitan itu penting, menjadi cerminan kepada kerencaman pandangan dan sikap. Itulah demokrasi.

“Bagi saya ini peluang baik untuk parti diberi satu semangat baru tanpa kita meninggalkan mana-mana pihak,” katanya.

Ada banyak ruang

Sementara itu Fahmi berkata dia percaya kepimpinan parti akan berlaku adil dalam meletakkan seseorang di tempat yang selayaknya untuk terus mengukuhkan hala tuju PKR walaupun tewas atau tidak terpilih pada akhir proses pemilihan.

“Itulah konsep PKR, dan macam pengalaman saya sendiri pada tahun 2022, kali pertama saya bertanding waktu itu sebagai naib presiden, tapi tewas (tapi) tidaklah teruk.

“Namun pimpinan merasakan saya masih boleh berbakti, masih boleh membantu parti maka saya dilantik menjadi ketua penerangan walaupun tewas.

“Jadi saya lihat parti ada banyak ruang dan memberi banyak peluang kepada semua yang ingin terus berkhidmat kepada parti, nusa serta bangsa,” katanya.

Proses pencalonan yang berakhir pada Jumaat lalu menyaksikan Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak dicabar, manakala jawatan timbalan presiden melibatkan pertandingan Nurul Izzah Anwar dengan penyandang, Rafizi Ramli yang juga menteri ekonomi.

Bagi jawatan naib presiden, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Setiausaha politik kepada menteri kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda PKR (AMK), manakala bagi jawatan ketua wanita menyaksikan pertandingan di antara Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Wanita dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen