malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi, Izzah perlu debat terbuka - pemimpin AMK
ADS

Susulan suasana pemilihan PKR yang semakin memanas, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar dicadang berdebat secara terbuka.

Naib Ketua AMK, Prasanth Kumar Brakasam berkata cadangan debat itu bakal menjadi platform terbaik untuk kedua-dua tokoh menerangkan tawaran, idea serta formula terbaik bagi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, PH dan PKR sendiri.

"PKR sebagai parti yang mengangkat kebebasan bersuara perlu menjadikan debat ini sebagai budaya yang sihat.

"Ianya, bukan untuk mencari kelemahan Rafizi atau Izzah, atau bukan untuk menyerang antara satu sama lain.

"Platform debat ini akan memberi peluang kepada para perwakilan untuk menilai siapa yang lebih sesuai untuk berganding bersama Presiden Anwar Ibrahim," katanya kepada Malaysiakini.

Pemilihan PKR kali ini menarik perhatian kerana ia berlangsung dalam suasana parti dijangka berdepan fasa peralihan kepimpinan, mengambil kira usia dan kedudukan Anwar Ibrahim yang kini memasuki tahun ketiga sebagai perdana menteri.

Sokongan awal beberapa cabang serta tokoh akar umbi turut menambah debaran apabila Nurul Izzah menerima sokongan terbuka ketika Rafizi mempertahankan jawatan yang disandangnya itu.

Pemilihan PKR dijadual berlangsung di Johor Bahru pada 22 hingga 24 Mei ini.

Prasanth, yang turut bertanding bagi jawatan naib ketua Pemuda PKR, berharap media massa seperti Malaysiakini akan menganjurkan debat tersebut.

"Bukan sahaja anggota PKR, malah rakyat juga ingin tahu kewibawaan kedua-dua pemimpin ini.

"Ramai anggota PKR berminat debat ini untuk membincangkan strategi untuk memenangi kerusi marginal pada PRU ke-16. Sebagai contoh, baru-baru ini calon naib presiden R Ramanan berkata Izzah mampu menangkan 80 kerusi parlimen untuk PKR.

"Maka, kita boleh bincang kesemua ini dalam perdebatan ini. Lagi pun, PKR adalah seperti sebuah keluarga besar.

"Saya harap Rafizi dan Izzah bersetuju dengan perdebatan ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen