Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Woo Kah Leong menyindir sikap berpilih-pilih sesetengah pihak, khususnya PAS, dalam menilai kesilapan teknikal melibatkan Jalur Gemilang — kali ini membabitkan PAS Terengganu sendiri.
Menurut Woo, sikap terburu-buru menghukum ketika pihak lain melakukan kesalahan kini memakan diri apabila insiden yang sama dilakukan oleh parti itu sendiri.

“Kalau guna logik yang sama, adakah perlu tutup PAS Terengganu? Atau lucutkan kewarganegaraan editor yang muat naik gambar bendera salah itu?” soal Woo dalam kenyataan medianya hari ini.
Kenyataan itu hadir susulan hantaran media sosial rasmi PAS Terengganu yang memaparkan bintang Jalur Gemilang dengan bilangan bucu serta jalur merah dan putih yang tidak lengkap pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 anjuran PAS Terengganu.
Logo berkenaan memaparkan Jalur Gemilang di sebelah kiri, logo PAS di tengah dan bendera Terengganu di sebelah kanan.
Namun, beberapa warga maya mengkritik logo itu kerana hanya memaparkan bintang kuning 11 bucu dan 12 jalur merah dan putih berselang-seli.

Sepatutnya, bintang dan jalur Jalur Gemilang mempunyai 14 bucu dan 14 jalur, melambangkan 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia serta Wilayah Persekutuan.
‘Meludah ke langit, terkena muka sendiri’
Mengulas lanjut, Woo berkata setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, termasuk kesilapan teknikal.
Ini katanya, termasuk oleh akhbar Sin Chew Daily, Kementerian Pendidikan (KPM), mahupun PAS sendiri.
“Jangan meludah ke langit, lantaran akan terkena muka diri juga,” katanya, menyindir kenyataan-kenyataan keras yang pernah dibuat oleh pemimpin PAS terhadap pihak lain sebelum ini.
Sebagai contoh, ketika akhbar Sin Chew Daily secara tidak sengaja menerbitkan imej Jalur Gemilang dengan bintang lima bucu, beberapa pemimpin PAS menuntut tindakan keras termasuk cadangan melucutkan kewarganegaraan terhadap editor akhbar tersebut.

Begitu juga ketika kesilapan grafik dikesan dalam bahan rasmi KPM, kritikan keras turut dilemparkan, termasuk dakwaan kononnya ada unsur anti-nasional atau penghinaan terhadap negara.
“Kini, apabila pihak yang berlagak hero dan mengecam orang lain membuat salah, pihak itu pula terpaksa menelan ayat-ayat sendiri,” kata Woo.
Sambil menggesa semua pihak untuk tidak menjadikan isu-isu remeh seperti kesilapan grafik sebagai bahan politik murahan, katanya fokus seharusnya terhadap “membina negara dan bukan hukum orang ikut selera sendiri.”
“Sebagai ahli politik yang bertanggungjawab, biarlah kita rendahkan suhu politik. Fokuskan masa untuk membina negara, janakan kekuatan untuk masyarakat.
“Jangan menang sorak, kampung tergadai,” katanya

Isu Jalur Gemilang terus menjadi perhatian apabila satu demi satu kesilapan melibatkan visual rasmi timbul sejak beberapa bulan lalu.
Pada September 2023 – Akhbar Sin Chew Daily dikecam selepas grafik dalam laporan Hari Malaysia memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang lima bucu, bukan 14.
Pada Februari 2024 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dikritik kerana satu video rasmi memaparkan bendera negara secara terbalik. Pegawai terlibat kemudian dikenakan tindakan tatatertib.
Terbaru - poster mempromosikan perhimpunan “Himpunan Teguh Memimpin Terengganu” yang dijadualkan berlangsung di Kemaman pada 29 dan 31 Mei membuat kesilapan dengan hanya memaparkan bintang kuning 11 bucu dan 12 jalur merah dan putih berselang-seli.
Mengulas lanjut, Woo, berkata, pendekatan politik seharusnya lebih matang dan konsisten, tanpa mengira siapa yang berada di pihak yang melakukan kesalahan.
“Ayuh sama-sama bergerak ke hadapan,” katanya lagi.

