malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Fadhli: Anwar jangan diam isu MH17 ketika lawatan ke Rusia
Diterbitkan:  May 13, 2025 4:15 PM
Dikemaskini: 8:44 AM
ADS

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari hari ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar tidak mendiamkan diri dalam isu tragedi pesawat MH17 ketika lawatan rasminya ke Rusia.

Gesaan itu hadir pada hari pertama lawatan Anwar ke Moscow, sebelum dia dijadual menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa "Russia-Islamic World: KazanForum" di Kazan, Republik Tatarstan dari 13 hingga 16 Mei.

Ahmad Fadhli Shaari

Menurut Fadhli, kehadiran perdana menteri ke negara itu berlaku dalam waktu yang sangat sensitif, susulan keputusan rasmi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) – sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – yang menetapkan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine pada Julai 2014.

“Lawatan diplomatik tidak seharusnya mengabaikan luka sejarah yang belum sembuh — luka yang masih dirasai oleh keluarga mangsa MH17, dan luka kepada imej serta kedaulatan negara kita sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

'Tuntut permohonan maaf, pampasan'

Dalam tragedi itu, seramai 298 penumpang dan anak kapal terkorban, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Merujuk kenyataan terbaru kerajaan Belanda dan Australia, Fadhli berkata kedua-dua negara telah menyatakan komitmen untuk membawa isu pampasan ke ICAO dalam masa terdekat, dan Malaysia perlu mengambil pendirian yang sama tegas.

Justeru, pemimpin PAS itu menggesa perdana menteri untuk menyuarakan secara rasmi tuntutan Malaysia terhadap Rusia bagi:

  • Permohonan maaf terbuka kepada rakyat dan kerajaan Malaysia;

  • Komitmen kepada proses pampasan yang adil kepada waris mangsa;

  • Sokongan terhadap usaha penegakan keadilan menerusi saluran antarabangsa tanpa campur tangan politik.

“Jika Perdana Menteri boleh berbicara lantang dalam isu antarabangsa lain seperti Palestin dan Gaza, maka keadilan untuk 43 warga Malaysia dalam tragedi MH17 juga tidak boleh diketepikan,” katanya.

'Jangan gadai prinsip demi pelaburan'

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mengingatkan agar lawatan rasmi Anwar ke Rusia tidak menjadi medan pelaburan semata-mata, sebaliknya digunakan sebagai platform diplomatik yang bermaruah.

“Rakyat tidak mahu melihat perdana menteri tunduk kepada diplomasi sehala. Diplomasi yang bermaruah ialah yang berani menyebut kebenaran walaupun di hadapan kuasa besar,” katanya.

Fadhli mengakhiri kenyataan itu dengan menekankan bahawa tuntutan keadilan untuk mangsa MH17 adalah amanah negara yang tidak wajar dilupakan.

“Jangan biarkan ia lenyap demi sekeping foto bersama pemimpin Kremlin,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen