Peguam yang mewakili keluarga Pamela Ling menggesa satu siasatan segera, bebas dan telus dijalankan terhadap peranan SPRM dalam kehilangan wanita tersebut.
Mengecam SPRM yang berterusan membisu berhubung tindakannya sebelum kehilangan Ling, peguam Sangeet Kaur Deo menegaskan sikap yang jelas berahsia itu telah menimbulkan persoalan terhadap integritinya.
“Sudah 33 hari sejak kehilangan (Ling) dan SPRM masih belum memberikan sebarang penjelasan sebenar mengenai tindakannya dalam minggu-minggu sebelum kehilangannya.
“Ia mengukuhkan rasa curiga dan menjejaskan kredibiliti. Rakyat berhak mendapat sebuah institusi yang memerangi rasuah dengan penuh kepercayaan, bukannya institusi yang menimbulkan keraguan dengan berdiam diri di saat ketelusan amat diperlukan,” kata Sangeet dalam kenyataan hari ini.
Dia turut mengingatkan pihak berkuasa agar tidak menganggap kehilangan Ling sebagai “hanya satu lagi skandal negara” yang akan diselindung secara senyap, sambil mempersoalkan jika kes Ling akhirnya akan termasuk dalam senarai kes-kes yang telah mencemarkan kredibiliti SPRM.
Sangeet berkata SPRM perlu mendedahkan siapa yang mengarahkan untuk “memburu” Ling, mengapa dia berulang kali ditekan berkaitan hal peribadi yang tidak berkaitan dengan bidang kuasa SPRM, dan mengapa tiada waran tangkap dikeluarkan apabila dia berhenti melaporkan diri kepada suruhanjaya itu.

Merujuk kepada bagaimana Ling telah memulakan prosiding penceraian di Singapura manakala suaminya membuat tindakan balas di Malaysia, Sangeet berkata wanita itu turut memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Singapura dengan mendakwa suaminya memindahkan saham syarikatnya secara salah dan memalsukan tandatangannya.
“Hakikat yang pertikaian peribadi ini telah menjadi subjek campur tangan agresif oleh SPRM menimbulkan persoalan serius mengenai kewajaran dan penyalahgunaan kuasa awam,” kata peguam itu.
Sangeet juga mempertikai kronologi siasatan SPRM terhadap Ling dan suaminya, Thomas Hah Tiing Siu - seorang ahli perniagaan dari Sarawak - dengan mendakwa rentetan peristiwa yang dimaklumkan kepada umum “tidak mendedahkan fakta penting”.
Fakta-fakta tersebut, katanya, termasuk bagaimana Ling telah ditahan, direman, disoal siasat berulang kali dan dikenakan larangan perjalanan yang tidak dijelaskan, sehingga menyebabkan dia terpisah daripada anak-anaknya.
“SPRM juga gagal menyatakan bagaimana pegawainya menyampaikan notis secara tidak betul melalui bapa (Ling).
“(Pegawai-pegawai SPRM) turut menggunakan waran tangkap berkaitan satu kes yang telah selesai beberapa bulan sebelum itu agar (Ling datang) dari Singapura ke Kuala Lumpur,” katanya lagi.
Bantu siasatan atau jadi suspek?
Peguam itu juga membangkitkan percanggahan antara gambaran SPRM berkenaan Ling sebagai seseorang yang membantu siasatan dan juga sebagai suspek.
“Yang mana satu sebenarnya? Jika dia sememangnya suspek sejak awal, mengapa perkara ini tidak dinyatakan dengan jelas? Jika tidak, mengapa dia diburu begitu agresif?
“Hakikatnya ialah dia tidak pernah didakwa - walaupun selepas sembilan sesi memberi keterangan. Adakah ini siasatan yang tulen atau ada tujuan tersembunyi?” soalnya.
Dua hari sebelum penculikannya, Ling telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan SPRM.
Pada 7 Mei lalu, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, mempersoalkan tatacara suruhanjaya itu dalam siasatan pengubahan wang haram terhadap Ling, yang diculik berhampiran ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April.

Dzulkifli berkata dia terkejut apabila Ling dipanggil untuk soal siasat sekurang-kurangnya sembilan kali selepas ditahan dan direman oleh SPRM.
Menurutnya, undang-undang tidak membenarkan agensi penguatkuasaan undang-undang mengambil keterangan lanjut daripada suspek selepas mereka dibebaskan daripada tahanan reman.
Dia berkata soal siasat selanjutnya hanya boleh dilakukan jika mereka diklasifikasikan semula sebagai saksi, dan itu hanya melalui kebenaran serta kelulusan daripada timbalan pendakwa raya.
Pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan pada 9 April wanita berusia 42 tahun yang bergelar Datin Seri itu sedang dalam perjalanan untuk bertemu pegawai SPRM bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram, tetapi telah diculik sebelum sampai ke ibu pejabat SPRM.
Pemandu Grab yang membawanya pada hari kejadian mendakwa individu berpakaian seperti polis telah menghentikan kenderaannya, memaksa Ling keluar dan mengarahkan dia menandakan perjalanan tersebut sebagai “selesai”.
SPRM telah menafikan sebarang unsur gangguan atau salah laku dalam pengendalian kes Ling, menegaskan pihaknya telah bertindak mengikut undang-undang di setiap peringkat.

