Keluarga mendiang kadet Tentera Laut J Soosaimanicckam menyerahkan memorandum kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), meminta jabatan itu mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula siasatan terhadap kematian anak mereka.
Memorandum tersebut menyatakan bahawa siasatan perlu dijalankan oleh pasukan bebas dan berkecuali dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
"Setakat pengetahuan kami, tiada siasatan. Tiada siasatan dilakukan oleh pihak polis dan kami telah pun menghantar memorandum kepada Bukit Aman.
"Sebab kalau mereka sudah buat siasatan, pasti mereka sudah hubungi keluarga untuk ambil kenyataan," kata Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan dalam sidang media selepas penyerahan memorandum itu.

Memorandum tersebut diserahkan kepada pegawai deklarasi AGC, Abdul Aziz Mohd Salleh.
Isnin minggu depan (19 Mei) genap tujuh tahun kematian Soosaimanicckam.
Pada Ogos tahun lalu, keluarga Soosaimanicckam telah menyerahkan memorandum kepada Bukit Aman, menuntut siasatan dijalankan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memutuskan kematiannya sebagai kes bunuh.
Hakim Abdul Wahab Mohamed memutuskan bahawa kematian pemuda berusia 27 tahun itu adalah akibat langsung daripada tindakan pegawai tentera laut yang bertanggungjawab dalam latihannya.

Memorandum hari ini turut meminta agar satu garis masa diberikan kepada keluarga, yang turut meminta pihak polis memaklumkan perkembangan kes kepada mereka.
Arutchelvan turut membandingkan kematian Soosaimanicckam dengan kes Teoh Beng Hock, sambil mendakwa terdapat banyak usaha menutup kes tersebut.

