malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar pemimpin paling mengecewakan buat orang India - Ramasamy
Diterbitkan:  May 13, 2025 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM
ADS

Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) melabelkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin paling mengecewakan bagi masyarakat India.

Pengerusi pro-temnya, P Ramasamy berkata demikian berikutan penegasan timbalan presiden PKR Rafizi Ramli bahawa sokongan bukan Melayu terhadap Pakatan Harapan semakin merosot.

“Kehadiran beberapa pengampu India dalam DAP dan PKR tidak banyak membantu memulihkan kekecewaan masyarakat yang meluas terhadap kerajaan Madani.

“Setakat ini, kemungkinan kerajaan pimpinan PH kembali berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang adalah tidak pasti.

“Jika Perikatan Nasional (PN) membangunkan dan mengekalkan pendekatan inklusif yang benar-benar senada dengan masyarakat bukan Melayu, Malaysia boleh melihat perubahan politik yang ketara pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Rafizi berkata PKR dan PH tidak berada dalam kedudukan terbaik untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ketika membentangkan data, dia menegaskan bahawa sokongan Melayu terhadap PH berada pada kadar 27 peratus setakat April tahun ini, meningkat sedikit daripada 20 peratus pada Ogos 2020.

Sementara itu, sokongan Melayu untuk BN dan PN telah menurun kepada 48 peratus, namun pecahan prestasi setiap gabungan tidak ditunjukkan.

Selain isu sokongan Melayu yang tidak mencukupi, Rafizi berkata sokongan bukan Melayu terhadap PH juga merosot dengan pantas.

Sokongan pengundi Cina dan India jatuh daripada sekitar 56 dan 50 peratus pada Ogos 2024 kepada hanya 31 peratus pada April lalu.

Menyentuh mengenai undi kaum India, Ramasamy berkata mereka berasa diketepikan dan dipinggirkan oleh PH, dengan retorik Anwar untuk mengangkat taraf hidup masyarakat itu tidak diterjemahkan.

Katanya, kekecewaan mereka jelas terserlah semasa pilihan raya kecil Sungai Bakap, dengan majoriti pengundi India menyokong calon PN.

“Naratif simbolik Anwar sebagai sosok Mahatma Gandhi atau Nelson Mandela sangat kosong bagi kaum India, terutamanya memandangkan ketiadaan menteri Tamil dalam kabinet dan kurangnya perhatian sosial dan ekonomi kepada masyarakat.

"Pemindahan paksa kuil Hindu berusia 130 tahun di Kuala Lumpur - dilaporkan didalangi di bawah kepimpinan Anwar - hanya menambah luka," kata bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu.

Ramasamy berkata kekecewaan di kalangan pengundi Cina juga boleh dilihat dengan peratusan keluar mengundi yang rendah semasa beberapa pilihan raya kecil.

“Tanpa alternatif politik yang boleh dipercayai, trend sikap tidak peduli dan pemisahan ini mungkin akan berterusan.

“Dan DAP tidak lagi dilihat sebagai penjaga kepentingan politik Cina dalam gabungan pemerintah,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen