malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tertolaknya Nurul Izzah bukan bermaksud penolakan kepada Anwar'
Diterbitkan:  May 13, 2025 11:49 AM
Dikemaskini: 4:49 AM
ADS

Bekas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menolak tanggapan bahawa penolakan Nurul Izzah Anwar sebagai calon timbalan presiden parti adalah penolakan terhadap Anwar Ibrahim sebagai presiden parti.

“Maknanya kalau Nurul Izzah yang kalah, dilanjutkan pula penolakan terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim, saya tidak melihat begitu.

Saifuddin Nasution Ismail

“Anwar Ibrahim ini, apa namanya… wujudnya PKR itu kerana insiden yang berlaku ke atas tubuh badan dia, ke atas dia, 2 September 1998 dulu,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat bulanan di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata mesej yang salah akan diberikan kepada rakyat sekiranya pencabarnya Nurul Izzah tewas dalam persaingan bagi merebut jawatan nombor dua dalam parti itu.

Berucap pada satu ceramah di Kedah, Rafizi berkata PKR bakal berdepan risiko jika Nurul Izzah tewas dalam pemilihan tersebut memandangkan dia merupakan anak kepada presiden parti, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kekalahan Nurul Izzah akan menyebabkan imej buruk kepada PKR, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Kalau contohnya Izzah kalah, apa mesejnya kepada rakyat? Contohnya mesejnya ialah anggota PKR menolak Anwar Ibrahim.

"Kalau kalah... jadi sebab itu Nurul Izzah mesti menang. Dia mesti menang sebab kalau kalah itu, kita akan masuk pilihan raya dalam keadaan yang kita tak boleh gambarkan berdepan pembangkang dan polemik politik dalam dan luar kerajaan.

"Kerana orang akan kata, Nurul Izzah kalah bermakna Anwar ditolak parti sendiri, jadi akhirnya apa pilihan saudara saudari ada?” katanya.

Mengenai mengapa dia memilih untuk tidak bertanding jawatan itu, Saifuddin menegaskan keutamaannya sentiasa adalah menjaga kestabilan parti.

Sebagai ahli lama PKR, dia menyebut keperluan untuk penglibatan berterusan dalam kalangan pemimpin tertinggi parti, dengan tugasnya sebagai "suara menyederhanakan" dan memastikan PKR kekal kukuh sebagai parti yang menjadi tunjang Kerajaan Madani.

“Buat masa sekarang, saya masih Ketua Setiausaha Pakatan Harapan. Saya bertanggungjawab kepada gabungan empat parti, mengawal the engine room, pentadbiran day-to-day kepada Pakatan Harapan.

“Saya juga ahli Biro Politik dalam PKR. Jadi, dengan dua tanggungjawab itu, saya masih boleh memberikan peranan,” katanya.

Saifuddin sebelum ini disebut-sebut akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR yang kini disandang oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Pada pemilihan jawatan nombor dua itu kali ini menyaksikan Rafizi berdepan saingan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Pemilihan PKR akan diadakan di Johor Bahru pada 22 hingga 24 Mei ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen