malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RimbaWatch gesa henti segera projek jalan raya di habitat haiwan liar
Diterbitkan:  May 13, 2025 11:19 AM
Dikemaskini: 3:49 AM
ADS

RimbaWatch menggesa kerajaan mengeluarkan arahan henti kerja serta menghentikan projek-projek pembinaan jalan raya yang merentasi kawasan habitat hidupan liar.

Dalam kenyataannya hari ini, RimbaWatch mempersoalkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar bagi dua projek jalan raya di Terengganu dan Pahang pada tahun 2022, yang membabitkan pembinaan jalan sepanjang 52km merentasi rizab harimau Diraja Al-Sultan Abdullah.

Kawasan ini dikenal pasti sebagai habitat utama pelbagai spesies haiwan liar, termasuk harimau Malaya yang diancam kepupusan, harimau kumbang (melanistic leopard), harimau dahan, kucing batu, kucing emas dan kucing hutan.

Selain itu, kawasan hutan simpan kekal ini turut menjadi tempat perlindungan bagi spesies terancam lain seperti gajah Asia dan tapir Malaya.

Pada tahun 2023 pula, satu lagi EIA diluluskan bagi pembinaan jalan sepanjang 15km dari Kampung Gagu ke Ulu Beranang, Negeri Sembilan. Laluan ini melalui Banjaran Titiwangsa dan merentasi Hutan Simpan Kekal Gapau dan Lenggeng.

RimbaWatch menegaskan bahawa konflik antara manusia dan haiwan sudah pun berlaku akibat pembinaan jalan-jalan berkenaan. Sebagai contoh, pada 2022 seekor harimau dilihat di jalan baru berhampiran Kampung Mat Daling.

Pada April 2025 pula, seekor harimau kumbang menyerang seorang pemandu lori yang berhenti di tepi jalan di Bukit Tangga — di kawasan yang turut merentasi hutan Gapau dan Lenggeng.

Bahaya kepada hidupan liar dan ekosistem

“RimbaWatch menegaskan bahawa tiada cara membina lebuh raya melalui kawasan perlindungan sensitif tanpa menyebabkan penebangan hutan, mengganggu pergerakan hidupan liar dan mendedahkan spesies terancam kepada risiko seperti kemalangan jalan raya, konflik manusia-haiwan dan pemburuan haram,” kata kenyataan itu.

Mereka turut mempersoalkan keberkesanan pembinaan lebuh raya merentasi banjaran gunung sebagai penyelesaian kepada isu keterhubungan.

Selain itu, RimbaWatch berkata pergantungan kepada kenderaan persendirian adalah tidak produktif memandangkan kosnya yang tinggi, risiko keselamatan, kesan terhadap kesihatan awam serta sumbangannya terhadap perubahan iklim.

Sebagai alternatif, RimbaWatch mencadangkan pembangunan semula jaringan kereta api di luar bandar seperti di Kuala Sepetang, Port Dickson dan Kuala Pilah sebagai model pengangkutan selamat, cepat dan mampu milik.

Statistik kematian haiwan liar akibat dilanggar kenderaan

Semalam Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, memaklumkan sebanyak 2,361 haiwan liar mati akibat dilanggar kenderaan di jalan raya sejak tahun 2020.

Negeri yang mencatatkan angka tertinggi ialah Pahang sebanyak 765 kes, diikuti Perak (478 kes), Kelantan (224 kes), Terengganu (201 kes) dan Negeri Sembilan (187 kes)

Baru-baru ini tular rakaman video menunjukkan seekor anak gajah mati dilanggar lori kontena di Lebuhraya Timur-Barat berhampiran sempadan Gerik (Perak) dan Jeli (Kelantan).

Video berkenaan menyentuh perasaan orang ramai apabila seekor gajah dewasa dipercayai ibu anak gajah berkenaan turut berada di lokasi kejadian seperti meminta anaknya diselamatkan.

Nik Nazmi berkata kejadian itu bukan sekadar kemalangan tragis tetapi mencerminkan cabaran besar dalam hubungan antara manusia dan alam, khususnya dalam usaha mengekalkan kelangsungan hisup spesies liar dalam landskap yang semakin terpisah-pisah dan kehilangan kesinambungan semula jadi.

"Berdasarkan kepada rekod Jabatan perhilitan, 4,919 aduan konflik manusia dan gajah telah dilaporkan bagi tempoh 2020 hingga 2024. Konflik ini termasuk kerugian harta benda yang direkodkan dan jumlah kerugian dianggarkan RM39.4 juta.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak lapan ekor gajah direkodkan mati akibat roadkill di Semenanjung Malaysia termasuk tiga daripadanya berlaku dalam tahun ini sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata beberapa langkah mitigasi telah dilaksanakan, antaranya rondaan berkala di hotspot konflik gajah sepanjang lebih 100km di laluan Jalan Raya Timur Barat,

Katanya jabatan itu juga membina tiga unit sistem pagar elektrik gajah, memasang 19 papan tanda lintasan gajah dan lampu jalan di 16 lokasi berisiko tinggi.

Nik Nazmi berkata kerajaan akan terus memimpin usaha melalui dasar dan pelaksanaan menyeluruh bagi menangani isu tersebut, yang memerlukan lebih daripada sekadar intervensi kewangan serta teknikal.

“Namun kejayaan hanya boleh dicapai dengan komitmen bersama pemilik ladang, pelaksana projek, masyarakat setempat dan pengguna jalan raya,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen