Ketua PKR Setiawangsa, Afdlin Shauki meluahkan rasa kesal dengan kenyataan dibuat penyandang timbalan presiden parti itu, Rafizi Ramli, berkaitan kerjayanya sebagai “pelawak profesional”.
Afdlin berkata kerjayanya sebagai anak seni tidak wajar dijadikan isu untuk mempertikaikan sokongan akar umbi parti terhadapnya.
"Saya tidak malu dengan gelaran pelawak dan juga pengarah, penerbit, penulis, pendidik, dan aktivis sosial. Ia adalah sebahagian daripada identiti saya sebagai anak seni. Ia juga cara saya menyara keluarga saya selama ini.
"Tetapi apabila label itu digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat kepimpinan yang diberikan oleh akar umbi, maka ia membawa maksud yang lain. Seolah-olah suara ahli yang memilih saya tidak wajar diberi penghormatan hanya kerana latar belakang saya tidak datang dari 'kilang politik',” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam program podcast 'Yang Bakar Menteri' kelmarin, Rafizi mempertikai kemenangan beberapa Ketua Cabang, termasuk Afdlin, yang disifatkan sebagai 'pelawak profesional'.

Ini selepas Afdlin menang pemilihan ketua cabang PKR Setiawangsa apabila menewaskan Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Dalam pemilihan itu Afdlin memperoleh 631 undi berbanding Nik Nazmi yang mendapat 563 undi.
‘Bukan kemenangan peribadi’
Dalam pada itu, Adflin juga menolak dakwaan bahawa dia menang jawatan ketua cabang ketika anggota pasukannya yang lain tewas, merujuk dakwaan trend ‘badan tanpa kepala’ dalam pemilihan berkenaan.
"Lebih menyedihkan, masih ada pihak yang menyangka saya cuma ‘kepala menang, badan kalah’.
"Hakikatnya, seluruh pasukan saya di Setiawangsa merangkumi Timbalan Ketua Cabang, Naib Ketua Cabang, AJK dan Ketua AMK turut menang dalam pemilihan.
"Ini bukan kemenangan peribadi, ini suara kolektif akar umbi yang menuntut nafas baru dan kepimpinan yang bersedia untuk turun padang, bukan sekadar muncul di pentas wacana,” katanya.
Afdlin berkata, sebagai timbalan presiden, dia manzahirkan rasa hormat yang tinggi kepada Rafizi dan tidak mahu memanjang polemik berkenaan.
“Tetapi saya percaya, jika kita benar-benar mahu melihat Keadilan kekal relevan, maka kita mesti meraikan perbezaan, bukan memperlekehkannya.
"Anak muda, profesional, golongan seni dan rakyat biasa mesti melihat parti ini sebagai rumah perjuangan yang inklusif, bukan gelanggang ejek-mengejek dalam kalangan pemuka,” tambahnya.
Terdahulu, Afdlin memberitahu Malaysiakini bahawa dia menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan parti itu kerana pencabarnya “terlalu sibuk” dengan tugas rasmi sebagai menteri.
Afdlin yang mencabar Nik Nazmi buat kali kedua, berkata pasukannya bertemu ahli parti yang mendakwa mereka “tidak pernah bertemu” ahli parlimen Setiawangsa itu.

