Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab atas insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines, MH17, di ruang udara Ukraine pada Julai 2014 yang mengorbankan semua anak kapal dan penumpangnya.
Menurut laporan Reuters hari ini, kerajaan Belanda dan Australia dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang sesuai dalam beberapa minggu akan datang.
“Keputusan ini merupakan langkah penting dalam usaha menegakkan kebenaran serta mendapatkan keadilan dan akauntabiliti bagi semua mangsa MH17, termasuk keluarga dan insan tersayang mereka.
“Ia juga menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat antarabangsa: sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan sebarang tindakan,” kata Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp.
Dalam pada itu, Menteri Luar Australia Penny Wong berkata, pihaknya menyambut baik keputusan tersebut dan menggesa ICAO supaya bertindak segera menentukan bentuk pampasan yang wajar.
“Kami menyeru Rusia supaya akhirnya mengakui tanggungjawabnya terhadap tindakan keganasan yang dahsyat ini dan menunaikan kewajipan membuat pampasan atas perbuatan melampau mereka, seperti yang dituntut di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Wong dalam satu kenyataan.
Walaupun ICAO tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan undang-undang, ia memiliki pengaruh moral dan menetapkan piawaian penerbangan antarabangsa yang diterima secara meluas oleh 193 negara anggotanya.
Pesawat MH17 milik Malaysia Airlines berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 sebelum ditembak jatuh di timur Ukraine ketika pertempuran antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine sedang memuncak.
Semua 283 penumpang dan 15 anak kapal terkorban.
Rusia dituduh oleh beberapa negara menyokong kumpulan pemisah tersebut dan membekalkan peluru berpandu kepada mereka.
Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang diketuai oleh Belanda mendakwa pesawat itu ditembak menggunakan peluru berpandu BUK milik tentera Rusia. Namun, Rusia menafikan tuduhan tersebut.
Anwar dalam lawatan rasmi ke Rusia
Keputusan itu diumumkan ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini sedang dalam lawatan rasmi ke Rusia bermula hari ini hingga Jumaat atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, lawatan tersebut merangkumi kunjungan ke Moscow dari Selasa hingga Khamis, dan ke Kazan, Tatarstan, dari Khamis hingga Jumaat.
Pada November 2022, mahkamah Belanda menjatuhkan hukuman bersalah terhadap dua lelaki warga Rusia dan seorang warga Ukraine (tanpa kehadiran) atas tuduhan pembunuhan dala, dalam tragedi MH17.
Moscow menyifatkan keputusan itu sebagai “memalukan” dan menyatakan bahawa ia tidak akan mengekstradisi rakyatnya.
Pada 5 Sept 2019, Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad berkata tiada bukti yang mencukupi untuk mengaitkan Rusia dengan serangan ke atas MH17.
Dia juga mempersoalkan dapatan oleh JIT dan menganggapnya “tidak begitu tepat”.
“Ya, itulah keraguan kami (terhadap kesalahan Rusia). Tapi saya tidak mempunyai ahli keluarga yang terkorban. Saya juga tiada tuntutan insurans. Saya melihat perkara ini dari sudut pemerhati luar, dan beberapa dapatan oleh JIT tidak begitu meyakinkan saya serta ramai rakyat Malaysia.
“Saya tidak mempersoalkan kejujuran mereka (JIT), tetapi ada beberapa perkara yang mereka dakwa — sukar untuk kita terima... Mengenal pasti peluru berpandu, ya. Lokasi kejadian, itu boleh disahkan.
“Tetapi untuk mengenal pasti siapa yang benar-benar melepaskan tembakan — itu amat sukar dalam keadaan biasa,” katanya kepada agensi berita Rusia, Sputnik.


