malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amirudin: Calon PKR jaga adab, jangan hasad serang peribadi
Diterbitkan:  May 12, 2025 9:16 PM
Dikemaskini: 1:34 PM
ADS

Ketegangan pemilihan PKR 2025 yang dilihat semakin ‘berkocak’ memaksa Naib Presidennya, Amirudin Shari tampil mengingatkan semua calon dan penyokong agar menjaga adab berkempen dan mengelakkan serangan peribadi.

Menteri besar Selangor itu turut merujuk secara langsung kenyataan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung dakwaan yang dilontarkan oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, yang kini hangat menjadi perbualan di kalangan anggota parti.

“Saya menekuni kenyataan media yang dikeluarkan JPP berhubung dakwaan saudara timbalan presiden PKR.

"Saya menggesa agar semua sahabat seperjuangan tetap istiqamah berkempen berpaksikan semangat setiakawan dan tidak terpalit fasad serta hasad menyerang peribadi, melontar fitnah serta tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

"Ini bukanlah amalan yang ingin kita lihat dalam proses pemilihan sebuah parti ‘reform’ yang dipanggil sebagai Parti Keadilan Rakyat,” katanya pada kenyataan hari ini, tanpa menyebut langsung dakwaan Rafizi.

Amirudin menegaskan semua calon dan penyokong, termasuk dirinya sendiri perlu mematuhi tatacara yang digariskan JPP dan menjaga tertib sepanjang kempen.

Amirudin berkata pemilihan kali ini merupakan pentas untuk semua calon menampilkan idea dan gagasan masing-masing secara matang, selain menjadi ruang menilai prestasi pemimpin sepanjang penggal lalu.

Sebagai parti utama dalam Kerajaan Perpaduan, katanya, rakyat akan memerhati setiap gerak-geri ahli dan pemimpin PKR.

“Sebarang tingkah laku yang mencerminkan politik kebencian atau peribadi hanya mengundang persepsi negatif terhadap parti dan kerajaan yang kita wakili.

“Ayuh sama-sama kita mempamerkan politik yang damai dan matang demi manfaat bersama,” kata Amirudin yang kini mempertahankan jawatannya sebagai naib Presiden PKR dalam pemilihan parti kali ini.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR hari ini menafikan dakwaan timbalan presiden parti Rafizi Ramli, bahawa ia gagal berfungsi dengan baik semasa pemilihan peringkat cabang bulan lalu.

Menyifatkan dakwaan Rafizi sebagai “tidak benar dan amat dikesali”, Timbalan Pengerusi JPP Ahmad Kasim menegaskan semua proses dijalankan secara telus selaras dengan peraturan sedia ada.

Terdahulu, Rafizi mengkritik proses pemilihan PKR dan apa yang didakwanya sebagai kegagalan JPP, serta menyifatkan pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa  gagal menyelesaikan aduan berhubung kepincangan seperti didakwa.

Rafizi kini dalam usaha mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR dalam pertandingan satu lawan satu menentang pencabarnya Nurul Izzah Anwar.

Rafizi mendakwa PKR kini disusupi oleh gelombang golongan baru yang tidak berminat dengan agenda reformasi, sebaliknya didorong oleh peluang merebut kuasa dan jawatan setelah parti berada dalam kerajaan.

Sebelum ini, juruaudit bebas yang dilantik bagi menilai pemilihan peringkat cabang dan ranting PKR melaporkan sistem e-pengundian berfungsi dengan baik, walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki

Sejumlah pemimpin PKR yang dilihat sebagai sekutu Rafizi tewas kepada ahli biasa pada pemilihan peringkat cabang yang diadakan antara 11 hingga 20 April.

Bagaimanapun, MPP PKR akhirnya memutuskan untuk menerima keputusan tersebut, membuka jalan kepada pemilihan peringkat pusat pada 23 Mei.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen