malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Agihan kerusi Melaka: Jangan layan emosi, kata Zahid
ADS

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan ahli-ahli parti dalam kerajaan perpaduan agar tidak membiarkan emosi mempengaruhi pertimbangan mereka dalam mengeluarkan kenyataan berhubung agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menekankan perkara tersebut seharusnya diserahkan kepada pertimbangan pimpinan tertinggi parti yang terlibat, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan ia “sangat pramatang untuk dipolemikkan”.

“Saya nasihatkan agar sayap mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan, (berkenaan agihan kerusi di Melaka) biar pucuk pimpinan parti masing-masing yang tentukan.

“Jangan layan emosi dan analisis mengikut perspektif masing-masing,” katanya kepada pemberita di acara sambutan ulang tahun ke-79 Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Kenyataan Zahid itu di tengah pertikaian terbuka antara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dengan beberapa pemimpin dalam kerajaan perpaduan, khususnya berhubung cadangan DAP agar BN dan PH masing-masing bertanding 14 daripada 28 kerusi DUN di Melaka.

Dr Akmal Saleh

Akmal sebelum ini berkata DAP boleh “teruskan bermimpi” untuk BN menyerahkan kerusi yang dipegangnya kepada PH.

Terdahulu, sembilan cawangan DAP Melaka sebulat suara menyokong strategi “14+14” bagi PRN akan datang – langkah yang memerlukan BN melepaskan sebahagian kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya yang lalu.

Pengerusi Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat pula berpandangan PH layak bertanding lebih banyak kerusi memandangkan keputusan PRU15 menunjukkan kecenderungan sokongan kepada gabungan itu, walaupun hanya memegang lima kerusi berbanding 21 oleh BN.

Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Haziq Azfar Ishak turut mengkritik pendekatan Akmal yang disifatkan “keras dan bersifat dominasi”, yang menurutnya tidak menyumbang kepada usaha membina muafakat di kalangan pihak dalam kerajaan perpaduan.

Mengulas pertikaian itu, Zahid berkata tiada keperluan bagi parti-parti kerajaan membangkitkan isu agihan kerusi terlalu awal.

“Kami di peringkat atasan sering bertemu dan adakan rundingan…(jadi) tidak perlu perkara ini dibangkitkan sama ada oleh Umno sendiri, khususnya Pemuda, atau oleh Pemuda Amanah.

“Saya fikir perkara ini sangat pramatang untuk dipolemikkan,” katanya lagi.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa BN dan PH secara prinsip setuju untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya sebelum ini.

‘Sabah bukti BN terbuka’

Ditanya mengenai PRN Sabah yang akan datang, Zahid berkata keputusan BN untuk bekerjasama dengan PH mencerminkan keterbukaannya dalam berganding bahu dengan gabungan lain demi kemajuan negeri tersebut.

Dia turut memberi bayangan yang lebih banyak parti mungkin menyertai kerjasama itu dan menekankan kepentingan sokongan daripada parti tempatan.

“Keputusan BN dan PH bukan satu ‘plus’, tapi ‘plus plus plus’...bukan hanya bergerak secara solo, tidak berniat (untuk berbuat demikian).

“Kita harus kombinasikan antara parti pusat dan parti negeri (tempatan).

“Apa yang penting, kerajaan yang akan terbentuk selepas PRN adalah kerajaan yang bersama-sama untuk pastikan pembangunan yang dirancang di Sabah dapat terus dilaksanakan,” katanya lagi.

Dalam satu kenyataan bersama sebelum ini, Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail dan Asyraf selaku Ketua Sekretariat mengesahkan BN dan PH akan bekerjasama dalam PRN Sabah.

Susulan itu, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor berkata pihaknya bersedia untuk bertanding secara solo menentang BN dan PH dalam PRN Sabah yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 8 Disember tahun ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata GRS kekal dengan prinsip bahawa kerajaan negeri itu wajar diterajui oleh parti-parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan penduduk.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen