PAS tidak menjangkakan Azam Baki akan dilantik semula sebagai ketua pesuruhjaya SPRM buat kali ketiga.
Membangkitkan antara lain skandal rasuah Sabah, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menekankan kepentingan untuk SPRM menjadi badan yang bebas dan berwibawa, serta bertindak tanpa pilih kasih.
“Saya jangka (perkhidmatan) dia tak disambung, sebab dah berapa kali disambung dan ini kali ketiga. Kalau kita lihat seseorang itu bila disambung sampai kali ketiga, ada sesuatu yang rasa pelik dan inilah yang diperkatakan orang ramai.
“Bagaimanapun, kerajaan sudah buat keputusan dan itu hak kerajaan untuk nak sambung atau tak sambung,” katanya dalam sidang media Pelancaran Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero 2030 (GTZ2030), di Putrajaya, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta pelantikan semula Azam buat kali ketiga, untuk setahun lagi.
Antara kritikan terhadap Azam dalam menerajui SPRM sebelium ini adalah tanggapan siasatan perlahan terhadap skandal rasuah Sabah yang melibatkan pemimpin kerajaan negeri.
Keputusan untuk melantik semula Azam telah mengundang kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk Nurul Izzah Anwar yang menyifatkannya sebagai “tidak dialu-alukan”.
"Pemanjangan kontrak sebegini menyukarkan perubahan mendasar berlaku.
"Kita memerlukan keberanian penjawat awam, pimpinan serta anggota parti dan lainnya untuk memastikan kita punyai kekuatan iltizam untuk membuat pilihan baru," katanya di X.
Bersih pula menyifatkan keputusan itu membuktikan kerajaan tiada rancangan hala tuju yang kukuh untuk agenda reformasi.
Hanya undang kritikan
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berpandangan pelantikan semula Azam hanya akan mengundang kritikan orang ramai.
Dia membangkitkan cara SPRM membuat makluman berkenaan kes yang disiasatnya sebelum ini, yang menurutnya seolah-olah sudah menjatuhkan hukuman.
“Polis dan SPRM bukan badan kehakiman, bukan mereka yang buat keputusan (bersalah atau tidak).
“Namun banyak kes, seolah-olah yang disiasat itu sudah dihukum (misalnya) dengan pamerkan berapa duitnya (suspek). Jadi, media dan orang ramai terus serang, sedangkan dia (suspek) belum didakwa.
“Jabatan Peguam Negara (AGC) yang membuat keputusan untuk teruskan dengan pendakwaan atau tidak, bukan (badan penyiasat) di peringkat awal terus tularkan, seolah-olah orang itu sudah bersalah,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim turut menyuarakan harapan agar kerajaan dapat menjadikan SPRM sebagai insititusi siasatan yang berwibawa, telus dan bebas rasuah.

