Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai kuasa mendakwa kontraktor atau syarikat pembinaan yang melanggar syarat pembinaan bangunan komersil dan kediaman.
Perkara itu adalah antara punca kuasa diberikan kepada JBPM menerusi pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa mendakwa sebelum ini dan terpaksa bergantung kepada peruntukan undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan dan akta tertentu dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Memang dari dulu ada peruntukan untuk kita mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan atau melanggar syarat pembinaan ditetapkan, tapi JBPM perlu menggunakan Kanun Keseksaan atau rujuk kepada KPDN untuk mendakwa pelaku.
"Jadi, apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Bomba (Pindaan) ini diwartakan, JBPM mempunyai kuasa untuk mendakwa sendiri pihak terbabit," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.
Terdahulu, dia merasmikan majlis penganugerahan pingat perkhidmatan bomba 2024 di Ibu Pejabat JBPM Pahang, dekat Indera Mahkota, Kuantan.
RUU itu sudah diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum ini, dengan menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk diwartakan.
Nor Hisham dalam perkembangan sama turut menjelaskan bahawa pindaan kepada RUU berkenaan juga akan memberi nilai tambah kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Katanya, ketika pindaan terhadap RUU itu dibuat kira-kira tujuh tahun lalu, masih terdapat kelompangan membabitkan aspek kebajikan pegawai dan anggota PBS.
"Melalui pindaan kali ini, pegawai dan anggota PBS juga akan menerima sumbangan dari Tabung Kebajikan JBPM apabila berdepan musibah.
"Sebelum ini, mereka (PBS) tidak dapat diberikan bantuan menggunakan tabung berkenaan kerana ada kekangan yang menyatakan bahawa hanya pegawai dan anggota JBPM berjawatan tetap atau pencen sahaja layak.
"Sudah tentu, pindaan berkenaan akan dapat membela pegawai dan anggota PBS yang sangat komited dalam menjalankan tugas mereka bersama kita," katanya.
Perkara lain yang terdapat dalam pindaan RUU itu antaranya adalah meletakkan tanggungjawab kepada pemilik atau pengurus premis menubuhkan suatu organisasi keselamatan kebakaran agar usaha pencegahan dapat diperkukuhkan.
Selain itu, perunding keselamatan kebakaran dan firma perunding keselamatan kebakaran, orang kompeten dan kontraktor keselamatan kebakaran, kelengkapan mencegah kebakaran atau pepasangan keselamatan kebakaran, penyedia latihan dan pengajar serta pasukan bomba persendirian juga diletakkan di bawah JBPM.
Sebagai rujukan, Akta 341 adalah akta untuk melakukan peruntukan diperlukan bagi membolehkan JBPM berfungsi dengan berkesan dan cekap dalam melindungi nyawa serta harta daripada risiko kebakaran, kecemasan dan tujuan-tujuan lain yang berkaitan dengannya.
Sejak diperkenalkan pada 1988,Akta 341 sudah dipinda sebanyak tiga kali dengan kali terakhir pada 2018 bagi meningkatkan perkhidmatan pemadaman kebakaran, penyelamatan dan pemulihan bencana oleh JBPM.

