Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, menyambut baik keputusan kepimpinan tertinggi BN dan PH untuk bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, kerjasama itu akan dirunding dengan teliti oleh kepimpinan BN dan PH Negeri Sabah, termasuk soal pengagihan kerusi serta pendekatan bersama dengan parti yang sehaluan.
"Kami menghormati proses ini dan akan memastikan setiap keputusan dimuktamadkan dengan semangat muafakat, seperti yang telah ditetapkan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu hari ini, BN dan PH mengumumkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Keputusan itu diumumkan menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Asyraf Wajdi Dusuki.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan semalam.
“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepimpinan PH dan BN Sabah.
“Segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat kebangsaan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu Bung berkata realiti politik pada hari ini menuntut kematangan dan keikhlasan dalam mewujudkan kestabilan.
"Demi masa depan negeri, kita memilih untuk berganding bahu bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk membina Sabah yang lebih baik dan terurus,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menegaskan bahawa BN Sabah akan menggerakkan seluruh jentera bagi menghadapi PRN sebagai satu pasukan.
"BN Sabah akan menggerakkan seluruh jentera, dari peringkat negeri hingga akar umbi, dengan sepenuh komitmen 100 peratus fokus, 100 peratus disiplin, 100 peratus keikhlasan untuk menghadapi PRN17 sebagai satu pasukan yang bersatu, matang dan berwibawa.
"Kita bukan sahaja mahu menang, tetapi kita mahu menang dengan maruah dan mandat rakyat yang tulen," katanya.

